Review Filem Frontliner Di Netflix!

Assalammualaikum dan hai.. Selamat datang ke biskutkering.com

Filem Frontliner Netflix!

Tajuk : Frontliner
Durasi : 89 Minit
Tarikh Tayangan : 30 September 2021
Pengarah : Razif Ajiboy Rashid
Genre : Emotional
Terbitan : D’Alphalegacy Sdn Bhd
Netflix
Tontonan 13+

Filem Frontliner ini mengisahkan mengenai frontliners atau pekerja barisan hadapan yang menghadapi kesukaran, keletihan, kepenatan ketika wabak covid-19 melanda dunia terutamanya di Malaysia. Frontliners yang terlalu kepenatan sehingga bertugas lebih dari 16jam demi untuk menjaga keselamatan dan kesihatan negara.

Filem ini juga meletakan situasi sebenar pekerja barisan hadapan menghadapi kesedihan ketika mana mereka terpaksa mengorbankan masa mereka untuk negara dan terpaksa meletakan keluarga di nombor kedua. Pengorbanan yang akhirnya sebahagian dari keluarga mereka juga ada yang terkorban, dan sebahagian juga dari mereka ada yang terkorban ketika melakukan jihad ini.

Sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT, mereka yang terkorban didalam menentang Covid 19 diredhai oleh Allah SWT dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman, semoga syurga tempat mereka.

Apakah yang terjadi didalam filem ini?
Adakah mereka dapat mengharungi detik-detik tekanan ini?
Jika kita berada ditempat mereka, bolehkah kita bertahan?

Pastikan anda tonton filem ini di Netflix sekarang!

Lakonan dari pelakon hebat:

Azhan Rani – Dr Azhan
Emma Maembong – Nora
Achey – Kapten Nasir
Beto Kusyairy – Inspektor Zul
Wan Maimunah – Mak Wan(Mak Nasir)
Farah Ahmad – Nadia
Shamsul Danish – Shamsul
Ashraf Muslim – Ustaz Ashraff
Black Hanifa – Black
DSP Siren – Azlina
Ruby Oii – Dr Rina
Meerqeen – Meerqeen

Ulasan:

Saya tidak tahu sama ada saya sahaja atau orang lain juga terasa perkara yang sama. Filem Frontliner ini pada permulaan cerita grafnya naik terlalu mendadak dan tinggi. Dengan emosi yang sangat tinggi. Tiba-tiba sahaja terus kita jadi serius bila tonton filem ini. Kemudiannya, terlalu banyak emosi yang cuba untuk ditampilkan pada filem Frontliner ini. Isu isteri, isu ibu, isu doktor nak selamatkan pesakit. Isu seorang guru yang ibu bapa tidak bayar yuran, kemudian mengalami tekanan dan sebagainya.

Selingan babak yang agak stress dan seolah-olah nak menunjukan semua perkara dalam satu masa yang singkat dan tiada alur cerita yang smooth. Selepas satu tekanan, babak seterusnya tekanan lagi, kemudian tekanan lagi. Saya faham ini yang dilalui oleh Frontliners kita, tetapi dalam pembikinan filem, babak yang hampir tiada masa untuk penonton relax akan membuatkan cerita atau filem ini terlihat stress. Ini hanya pandangan dan pendapat saya sahaja. Filem ini seolah-olah tiada sesi pengenalan pada permulaan cerita.

Kemudiannya pada babak Emma Maembong yang tolong pemandu motorsikal kemalangan dan bila dia masuk, ada tertera tulisan “Lets Stay Home” yang mana seolah-olah nak menunjukan bahawa seminit sahaja anda keluar tanpa waspada, covid boleh menjangkiti anda. Ini menarik sebenarnya. Cuma, seperti yang saya beritahu tadi, seolah-olah semua isu ingin dicerita dalam satu masa yang sangat ringkas.

Dari segi lontaran dialog pula agak sedikit tidak nature, saya tiada masalah dengan dialog atau skrip baku, tetapi ianya mesti semula jadi atau bahasa yang kita biasa gunakan. Saya kurang minat perkataan panggilan “Dok” didalam filem ini yang diletakan kepada Doktor. “Dok! Sabar Dok! Sabar Dok!”. Mungkin di hospital perkataan itu biasa digunakan, kerana itu pengarah meletakan panggilan “Dok”. Tapi tidak mengapa, isu kecil sahaja.

Ada satu babak ketika Zul dan isterinya. Zul tidur diluar rumah, disebabkan beliau seorang frontliners, disebabkan itu juga mungkin kekuatiran beliau dijangkiti dan berjangkit kepada isterinya. Cuma, ada babak isteri Zul beri makanan, tapi duduk dekat dan tidak memakai pelitup muka. Apa yang saya tahu, kebanyakan mereka hampir tidak mendekati orang langsung. Isteri beri makan, letak, kemudian isteri menjauhkan diri, suami baru ambil makanan itu. Tetapi dalam situasi babak ini, virus covid-19 boleh dijangkiti. Jadi, untuk apa Zul tidur diluar rumah? Sebab apa saya tekan situasi ini? Sebab filem ini menekan sangat soal SOP, penjarakan, berhati-hati dan waspada. Saya harap pengarah bersetuju dengan saya dalam hal ini. Tetapi watak Dr Azhan terpaksa tidur berasingan, bahkan terpaksa sewa rumah depan. Bukan sahaja berasing bilik, terpaksa tidur berasingan rumah. Saya tidak dapat bayangkan jika situasi ini benar-benar berlaku.

Oh ya, sepanjang 40 minit anda akan disajikan dengan babak serius, stress, rintangan yang dihadapi oleh frontliners, tiba-tiba ada akan dijamukan dengan babak percintaan dan buaian lagu percintaan. Yang mana graf filem ini secara sedar atau tidak, tiba-tiba mengejut dan sedikit menurun. Saya tidak terfikir akan ada babak lagu dalam filem ini. Tapi bagi saya, percubaan yang menarik.

Babak Azhan dan Nora dalam wad itu, macam mana Azhan boleh tekan isteri dia dalam keadaan macam tu. Tidak percaya isteri langsung. Geram pula melihat si Azhan ini. Tapi ada dialog yang Nora lafazkan sebelum dia dibawa keluar, sangat menyentuh hati. Anda nak tahu? Tontonlah filem ini.

Kadang ada babak yang tiba-tiba seolah-olah melompat, saya tidak tahu macam mana nak terangkan. Tiba-tiba sahaja babak bersemangat ketika Azhan berjumpa dengan nurse diluar. Tetapi, agak menyentuh hati juga. Dengar dengan hati, menitis airmata.

Tapi watak Nora itu agak terkesanlah bagi saya. Mungkin ceritanya dekat dan kita tahu berapa ramai ibu mengandung yang terkena jangkitan wabak covid-19, ada yang selamat, ada yang kritikal, ada juga yang meninggal dunia. Covid 19 is real! Semoga Allah rahmati ibu mengandung yang telah pergi meninggalkan kita akibat Covid 19.

Babak antara Nasir dan Ibunya pula, sesiapa yang tahu dan berada di situasi ini, pasti mereka akan tahu betapa sukarnya situasi ini. Bayangkan situasi frontliners, mereka hampir tiada masa, bukan hanya tiada masa dengan keluarga mereka, tetapi diri mereka sendiri pun tiada masa dan tidak dapat urus dengan sebaiknya. Terima kasih frontliners kerana berkorban diri dan masa anda buat kami semua rakyat Malaysia, demi negara, kesihatan dan keselamatan kami. Terima kasih.

Lakonan Achey dalam filem ini, lain dari yang lain, luar dari kebiasaan. Wan Maimunah? Siapa tidak kenal dengan pelakon hebat ini? Lakonan sedih dan lakonan watak mak kepada Nasir, memang memberi kesan kepada anda yang menonton, yang membuatkan anda terfikir, kerja atau mak. Pelakon lain, semuanya bagus-bagus belaka. Azhan Rani, Emma Maembong, Beto Kusyairy, Farah Ahmad, semua melakonkan watak mereka dengan baik. Walaupun ada beberapa perkara yang kurang sedikit, tapi, semuanya baik.

Kesimpulannya, saya tidak cakap cerita ini tidak bagus dan filem ini bukanlah yang terbaik. Ada banyak nilai yang patut kita ambil dalam filem Frontliner ini. Cuma, kecewa sedikit tiada real footage dalam filem ini. Tetapi, seperti yang pernah saya tulis sebelum ini artikel Frontliner Di Netflix 30 September. Bukanlah sesuatu yang mudah untuk meletakan real footage, jadi, saya kena terimanya dengan hati yang lapang. Tapi babak ribut melanda itu, memang ada berlaku. Babak akhir sekali, terasa sedih pula. Pengarah tinggalkan kita dengan babak sedih ini.

Tolong jangan jadikan pengkritik filem sebagai tanda aras sesebuah filem atau drama tersebut itu bagus atau tidak. Barangkali pengkritik mengkritik filem tersebut tidak bagus, tetapi anda melihat filem itu dari sudut yang berbeza yang mana pengkritik tidak nampak dan anda mengatakan filem itu bagus.

Menonton filem atau drama ini bukanlah hanya satu sisi atau satu sudut pandang sahaja. Sama juga seperti anda menonton filem Frontliner. Pengkritik akan mengkritik kerana itulah kerja mereka, mengkritik. Ada pengkritik yang mengkritik filem berdasarkan filem, shot, babak, adegan, lighting, sound, logikal, skrip, dialog dan sebagainya, yang mana lebih kepada teknikal. Tetapi bagi kita sebagai orang biasa, asal filem itu bagus, nampak ok, boleh layan, sedih, tersentuh. Kita ok sahaja. Apa yang nak di complaint-kan. Layan sahajalah.

Ada beberapa sudut pandang dalam menonton filem, sama ada filem itu serius atau filem itu sedap ditonton. Ada yang filem serius untuk penonton yang serius. Ada filem serius dan penonton layan filem serius itu sebagai layan je filem ni. Untuk Frontliner, ianya filem serius tetapi bukanlah ditujukan kepada penonton yang serius. Lebih kepada penonton yang boleh menerimanya dan terasa sedih, terkesan, teringat keluarga.

Filem Frontliner, tidak dinafikan ada beberapa perkara yang saya tidak bersetuju, itu perkara biasa. Cuma dari sudut pandang lain, saya boleh katakan, tersentuh hati jugalah menonton filem Frontliner. Habis sahaja saya menonton, terus terfikir ibu ayah, adik beradik, keluarga, orang yang kita sayang. Terus rasa takut semacam sahaja. Bilamana filem ini menceritkan tentang kesukaran frontliners dan kehilangan orang yang mereka sayang. Terus teringat keluarga kita. Ini sesuatu penghasilan yang baik bilamana sebagai penonton kita terkesan dengan filem tersebut.

Frontliner menceritakan bagaimana barisan hadapan menghadapi kesukaran, kepenatan, ketakutkan. Mereka berkorban demi orang lain, mereka sanggup mengetepikan keluarga, demi untuk kita semua. Akhirnya ada diantara mereka terkorban.

Untuk saya, saya meyakinkan anda untuk menonton filem Frontliner ini di Netflix sekarang. Filem ini sangat baik untuk ditonton terlebihlagi anak dan orang tua kita. Banyak sangat nilai dalam filem Frontliner ini yang patut anda tonton bersama orang yang tersayang. Supaya mereka tahu, Covid is real!

Walaupun ada beberapa bahagian yang saya memberi komentar, tetapi, saya tidak boleh menafikan sesuatu. Filem ini telah memberi kesan pada diri saya sendiri. Perasaan takut, gementar, memikirkan keluarga, risau, teringat orang yang tersayang. Ini hasil kerja pengarah Frontliner. Terima kasih pengarah Razif Ajiboy Rashid, telah memberi hasil kerja yang bagus dan memberi kesan kepada orang lain. Tahniah.

Kita sayangkan keluarga kita, kita sayangkan orang yang kita sayang. Tolong patuhi SOP, tolong jaga diri, jaga keluarga anda. Kita jaga kita!

Pastikan anda tontonnya di Netflix!

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *