Siri Puteri Les Copaque Di Netlix!

Assalammualaikum dan hai.. Selamat Selamat datang ke biskutkering.com

Siri Puteri Di Netflix

Tajuk : PUTERI
Durasi : 18 Minit
Episod : 2 Episod
Tarikh : 2014
Genre : Animasi
Pengarah : Syed Nurfaiz Khalid
Terbitan : Les Copaque Production Sdn Bhd

Pelakon :
PUTERI MANIS – Wani
PUTERI KASTURI – Hajar
PUTERI PURUT – Adreena
PUTERI BALI – Ilham
PUTERI NIPIS – Shazwina
RAJA – Mohd Azam

Siri Puteri ini dibangunkan oleh keluarga Les Copaque yang terkenal dengan siri Upin Dan Ipin, dan Pada Zaman Dahulu. Tidak boleh dinafikan lagi bahawa Les Copaque Production Sdn Bhd memang terkenal dengan kehebatan animasinya yang lebih kepada sifat kekeluargaan.

Siri Animasi Puteri ialah sebuah siri animasi pendek yang menceritakan mengenai sebuah kerajaan yang bernama Kerajaan Limau yang diperintah oleh seorang Raja. Di dalam Kerajaan Limau ini terdapat 5 Puteri yang cantik dan jelita, yang mana setiap daripada mereka mempunyai kuasanya yang tersendiri.

PUTERI LIMAU MANIS

Yang merupakan Puteri sulung di dalam 5 adik beradik ini. Seorang yang jelita, dan manis orangnya. Puteri Manis ini mempunyai kuasa yang mana beliau boleh hilang dan muncul dari suatu tempat ke tempat yang lain. Beliau mempunyai 2 ekor burung.

PUTERI LIMAU KASTURI

Puteri Kasturi adik kedua dan seorang yang sangat kasar dan bersemangat. Beliau seorang yang rajin berlatih dan beliau juga seorang pahlawan di dalam adik beradiknya. Kuasa yang dimiliknya pada pedang saktinya.

PUTERI LIMAU PURUT

Puteri yang sangat hebat dalam bidang perubatan dan boleh mengubat pelbagai penyakit. Seorang yang ayu dan pemalu. Beliau mempunyai parut di bahagian wajahnya. Puteri Purut adik yang ketiga. Kuasanya terdapat pada sanggul saktinya yang boleh mengubat kehidupan manusia termasuklah tumbuh-tumbuhan.

PUTERI LIMAU BALI

Puteri yang gemar dengan makanan dan sangat hebat dalam masakan. Berbadan sedikit besar dari kesemua adik beradiknya, beliau Puteri yang ke empat. Jangan disebut fizikalnya, pasti beliau akan mengamuk dan marah. Kuasa Puteri Bali menggunakan kipas saktinya yang mana sekali beliau kipas, pasti berterbanganlah kesemua yang ada.

PUTERI LIMAU NIPIS

Puteri Nipis adik bongsu di dalam adik beradik Kerajaan Limau. Dengan telatah kecomelannya, pasti membuatkan orang suka. Tetapi, kecil-kecil cili padi. Beliau mempunyai se-ekor kucing kesayangan yang bernama Jebat. Kuasanya terdapat pada cemeti sakti yang seakan bertali.

ULASAN
Bilamana anda buka dan menontonnya sahaja, anda akan dialunkan dengan suara merdu dari Puteri Manis yang sangat mengasyikan. Walaupun agak lama durasinya tetapi percayalah, anda tidak akan jemu mendengarnya.

Anda akan diperdengarkan dengan suatu dialog yang bagi saya ianya bahasa lama dan agak baku. Seolah-olah berasa di zaman lama. Lontaran bahasa yang begini sangat baik buat kanak-kanak dan anak kita supaya mereka tidak membesar dengan bahasa yang terlalu pasar dan bercampur aduk.

Dari segi animasi, ianya sangat cantik dan terbaik. Dengan zaman teknologi pada 2014, Les Copaque Production Sdn Bhd telah berjaya menghasilkan suatu animasi yang sangat sempurna dan tiada cacat celanya. Bagi penggemar produksi ini, pasti anda akan menggemari siri ini.

Pada asalnya saya tidak tahu kenapa animasi ini terhenti setakat itu sahaja, sedangkan potensi siri animasi ini sangat baik dan boleh berkembang. Tetapi apa yang saya dapat tahu, siri ini hanyalah pengenalan sahaja untuk mereka mengeluarkan karya hebat iaitu Filem Animasi Puteri. Les Copaque sudah lama rancang, kita sahaja yang lalai.

Jika kita mengimbau kenangan lalu, siri Upin Ipin juga Les Copaque menggunakan cara yang sama, iaitu pengenalan. Les Copaque telah menghasilkan iklan-iklannya di kaca televisyen, kemudian muncullah sebuah animasi Upin Dan Ipin. Kemudian mereka mengeluarkan produk filem mereka iaitu Geng Pengembaraan Bermula, yang mana bagi saya, inilah pembukaan filem animasi moden yang terbaharu.

Balik kepada siri Puteri, pihak produksi ini telah menyiarkan sesuatu di dalam Facebook mereka yang membuatkan saya tidak sabar menunggunya.

Seolah-olah bau Filem Puteri The Movie ini akan ditayangkan tidak lama lagi, mungkin pada akhir penggal tahun ini. Saya harap pihak produksi dapat mengeluarkan filem ini secepat yang mungkin, kerana siri Puteri ini terlalu lama diperap dan kita hampir-hampir terlupa dengan siri Puteri ini.

Mungkin kesukaran bagi pihak produksi menyiapkan karya hebat ini menjadi ianya lewat dapat disiapkan dan ditayangkan. Sama seperti Upin dan Ipin Keris Siamang Tunggal yang memerlukan 5 tahun dalam pembikinan dengan kos sebanyak RM20 juta. Untuk menghasilkan karya yang hebat, pasti memerlukan masa yang secukupnya.

Saya harap filem Puteri ini dapat ditayangkan secepat mungkin dan marilah kita bersama-sama memberi sokongan terhadap filem Malaysia, filem bangsa kita sendiri, keluaran tempatan dan jangan ada yang mencetak rompak filem ini, dan sewenangnya meletakan di laman Youtube. Hargailah filem hasil karya anak bangsa Malaysia. Untuk menghasilkan sebuah karya animasi bukanlah sesuatu yang mudah dan murah. Kesukaran, masa, jutaan ringgit dikeluarkan.

HAPUSKAN CETAK ROMPAK! SOKONG FILEM TEMPATAN! BARANG BAIK, BARANG KITA!

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *