Review Filem 35mm

Assalammualaikum dan hai.. Selamat datang ke biskutkering.com

Tajuk : 35mm
Minit : 107 Minit
Tarikh Tayangan : 21 Jun 2022, Astro First
Pengarah : Syahmi Sazli, Senibayan
Genre : Serius, Komedi, Fiksyen
Terbitan : Syahmi Sazli Production
Negara : Malaysia

(Hari Pertama Tayangan filem 35mm telah mengutip sebanyak RM300,000. Pencapaian yang memberangsangkan. Filem tempatan nombor 1 dengan kutipan tertinggi semasa pembukaan hari pertama paling tinggi tahun 2022. Tahniah.)

Filem 35mm ini mengisahkan tiga orang pemuda yang secara tidak sengaja telah masuk merentas ke zaman dahulu, zaman Dinasti China 1901 di Wilayah Huan, Zaman Jepun 1941, Zaman British 1946, Zaman 1997. Setiap zaman mereka mempunyai masalahnya yang tersendiri. Kesukaran demi kesukaran yang membuatkan mereka sukar untuk kembali di masa mereka.

Semua ini terjadi bilamana Syahmi mengajak Yeo dan Asif pergi ke Pulau Pinang untuk menghadiri pertandingan fotografi peringkat antarabangsa yang mana Syahmi seorang jurugambar hebat. Jika Syahmi menang, hadiahnya $US 5,000.

Sesampainya di Pulau Pinang, mereka pergi ke sebuah kedai antik yang menjual barangan antik. Di situ Syahmi membeli sebuah kamera antik yang mana mempunyai 1001 misterinya. Dan akhirnya kamera itu telah membawa mereka bertiga ke masa lampau sehingga membawa Yeo ke suatu zaman yang mana untuk pertama kalinya Yeo berjumpa Ibu Bapanya yang telah meninggal dunia sewaktu melahirkan Yeo dan sebulan kemudian Ayahnya pula meninggal.

Nak tahu apa yang terjadi? Pastikan anda langgan di Astro First!

Senarai Pelakon 35mm :

Syahmi Sazli – Syahmi
Yeo Parey – Yeo
Asif Suhaimi – Asif

Kenji – Kapitan Hung
Katherin Teng – Puteri Kapitan Hung
Melanie Tan – Pengiring Puteri
Ainul Yakin – Pengiring Puteri
Mohammad (Abe Mat) – Mahaguru Cina
Xing Hu – Isteri Mahaguru

MN Badri – Mejar Fujikura
Wea Selamus – Buang
Mamu Abi – Talibarut Jepun

Hushairy Hussein – Bahadur
Cg Yaakob Abd Aziz – Sir Mac Mouse
Dr Andika Aziz – Sir J Cowly
Mukhtar (Pok Tar) – Pok Tar

Syahidatul Munirah – Ibu Yeo
Syahmiey Odd – Ayah Yeo

Meliu – Penjaga Muzium/???
El Saziy – Tengku Mohammad
Fareth Rudy Agang – Tengku Kamal

Ulasan :

Apa yang saya boleh katakan untuk filem kali ini sangat menakjubkan, hebat, terbaik! Lebih baik dari sebelum ini filem Mael Totey : The Movie (2020). Untuk kali ini filem 35mm sangat terbaik dari segi senifotografinya, footage, pencahayaan, semua dalam kondisi yang terbaik. Mungkin Syahmi sudah belajar dari filem sebelum ini dan membeli peralatan yang lebih baik dan canggih untuk menghasilkan filem 35mm ini.

Saya nak memberi kepujian kepada Syahmi dalam menghasilkan filem 35mm ini dengan hasilnya yang hebat, membawa pula CGI dan animasi yang bagi saya tiada cacat celanya. Bilamana saya melihat trailer, ada satu babak yang saya tertunggu-tunggu untuk menonton iaitu babak Zaman Jepun. Dalam Zaman Jepun, banyak CGI yang dilakukan terlebihlagi pada babak kapal terbang Jepun. Anda pasti akan kagum dengan babak ini. Saya agak terkejut bilamana Syahmi membawa babak CGI seperti ini di dalam filemnya. Betul kata orang, jangan pandang orang sebelah mata.

Bayangkan dari seorang yang mengarah cerita pendek hanya di Youtube, telah membawa babak yang mempunyai animasi seperti ini. Hebat! Ini suatu tamparan hebat buat Pengarah dan Penerbit filem diluar sana yang telah berkecimpung dalam industri perfileman ini bertahun dan ada yang berpuluh tahun tetapi masih ditakuk yang lama dengan alasan bajet kecil, bajet ciput.

Ini filem kedua dari Syahmi, tetapi peningkatannya sangat ketara. Saya tidak sabar ingin menunggu filem yang ketiga, mungkin penghasilannya lebih baik dari filem 35mm.

Saya memang sangat teruja dengan plot-plot dalam filem ini. Setiap orang yang mereka jumpa pada zaman dulu, Syahmi akan memberitahu orang itu benar-benar ada dizamannya. Dan plot yang paling terbaik bagi saya adalah mengenai Yeo Parey. Sebab apa anda perlu melanggan filem 35mm ini di Astro First? Inilah salah satu sebabnya, apa yang akan berlaku pada Yeo Parey. Saya tidak mahu beritahu, nanti spoiler.

Kalau difikirkan balik, jalan cerita atau plot dalam filem ini, sepertinya dari rujukan filem Hollywood. Sebab filem ini berceritakan mengenai merentas masa dan jalan ceritanya memang lain dari filem Malaysia yang pernah dihasilkan. Plot Twist yang memang sangat wow!

Filem ini agak serius sedikit dari filem sebelum ini dan ini lebih baik dari sudut pandangan saya. Cuma seperti biasa, setiap filem yang kita tonton pasti akan ada kritikan atau kekurangan menurut orang yang menonton, ini biasa, termasuk saya sendiri.

Pada pandangan saya, ada suara (sound) yang sedikit kurang jelas pada lontaran dialognya di awal. Cuma jarang sangatlah berlaku. Oh ya, sebaliknya saya suka mengenai suara dalam filem ini yang mana tiada nada naik dan turun secara mendadak. Ada filem kalau anda perasan, masuk sahaja babak seterusnya, tiba-tiba sahaja kuat, dan ada masanya kuat gila, memang tidak sedap untuk kita tonton pada waktu malam. Kemudian, babak seterusnya suara kecil amat, sampai cakap pun tidak dengar.

Dalam filem ini, terdapat banyak zaman yang mereka rentas, ada satu zaman yang saya kurang minat dalam filem 35mm ini, iaitu Zaman China. Saya tidak tahu kenapa rasa macam sedikit perlahan jalan ceritanya. Tapi pelakon wanitanya comey-comey belako. Mungkin zaman ini saya kurang faham. Tapi CGInya memang cantik bila Syahmi berada di beranda, macam filem antarabangsa.

Tapi bila masuk sahaja Zaman Jepun dan Zaman British, saya memang suka betul. Mungkin zaman ini lebih dekat dengan kita. Kita tahu Zaman Jepun macam mana dan Zaman British pula bagaimana.

Cuma kalaulah Syahmi terlihat dan terbaca tulisan saya ini, kalau boleh saya nak Syahmi mempersiriuskan lagi Zaman Jepun dengan kekejaman yang berlaku. Ada satu babak yang mana tentera Jepun menembak dua orang, tapi jika Syahmi dapat lebihkan sedikit babak pada Zaman Jepun ini, dengan pedang Jepun, kekerasan tentera Jepun pada orang Melayu dan kerakusan nafsu mereka pada wanita-wanita, saya rasa lebih terbaiklah. Saya faham filem ini untuk santai, cuma, kalau dilebihkan sedikit supaya orang tahu, ini kekejaman Zaman Jepun. Ada dua orang talibarut Jepun yang Syahmi cuba beritahu, ya, zaman ini ada talibarut Jepun yang mengkhianat bangsa dan agamanya sendiri. Zaman ini antara zaman yang saya suka sebenarnya. Macam saya cakap diawal tadi, saya tertunggu-tunggu babak CGI dalam Zaman Jepun. Kapal terbang Jepun tembak dan bom, serius memang cantik, tak nampak kartun.

Pada Zaman British pula ada sedikit perlahan pada awalnya, kemudian semakin rancak, dengan kehadiran pelakon yang membawa watak Bahadur, memang terbaiklah. “Inspektor Hasani, doh dohlah berlakon bodohnyo…” saya memang minat pelakon ini. Kita tahu Zaman British, ada yang menyokong orang putih supaya terus memerintah. Dalam filem ini juga ada beberapa orang yang bersekongkol dengan pihak British dan Syahmi ada nilai patriotiknya yang sendiri. Tapi kalaulah Syahmi tarik lagi babak ini dengan babak-babak menentang British menolak Malayan Union, mesti lagi terbaik. Ada satu babak Syahmi dan Yeo mengendap sebuah rumah yang mana ada beberapa pemuda sedang berkumpul mengaturkan strategi. Teringat filem Embun dan Leftenan Adnan, kalau ada seorang sahaja pelakon dari filem Embun atau Leftenan Adnan dalam babak filem ini, memang terbaik sangat dah, kemungkinan kos pembikinan juga akan berubah. Tapi filem Embun dan Leftenan Adnan Zaman Jepun.

Saya suka banggunan-banggunan yang Syahmi cari. Semua cantik-cantik. Di mana agaknya Syahmi dapat banggunan ala-ala zaman dahulu.

Saya ada perasan sesuatu yang sedikit mengganggu, mengenai skripnya dan babaknya. Contohnya macam babak itu ditarik terlalu lama dan skripnya sedikit sedikit, kadang ada masa diam tapi masih dalam babak lagi. Tapi tidak banyaklah. Satu lagi babak Yeo dan Asif sebut 34mm, atau memang itu skripnya, sebab kita tahu sebenarnya 35mm. Babak ketika 1992, ada satu watak lelaki Indonesia ini lawak.

Pengakhiran zaman dalam filem ini dimana pada tahun 1997, Yeo berjumpa dengan ibu bapanya. Baiklah, babak ini sedih dan berharga, jadi saya tidak mahu bercerita panjang, yang penting plotnya terbaik. Saya yakin, anda pasti akan suka plot ini. Setiap sejarah yang diubah, masa depannya juga akan berubah.

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *