Jaga Tepi Kain Orang atau Dalam Kain Orang?

Assalammualaikum, Selamat datang ke biskutkering.com

Baru-baru ini tular kisah seorang anak artis yang agak terkenal dikatakan telah mengganggu rumah tangga orang sehinggakan isteri kepada lelaki yang diganggu itu meluahkan perasaan mengatakan ada seorang anak artis ini telah mengganggu hubungan mereka.

Berkata bapa anak artis tersebut, “Salah tetap salah”, beliau mengambil jalan menyelesaikan masalah ini bersama keluarganya. Bagi saya ini pujian yang sepatutnya diberi kepada artis tersebut. Tetapi apa yang menjadi masalahnya adalah sikap netizen atau warga maya dalam menzahirkan ketidakpuas hati mereka.

Pandangan saya, bab isu dalam kain orang, sebaiknya kita berlepas dirilah daripada berkata-berkata yang boleh mendatangkan dosa mengumpat.

Betul, kita nampak baik, keluarga kita semua baik, anak kita diajar dengan baik, kelakuan baik (buat masa ini). Kita cakap mak bapak orang lain tidak reti jaga anak, anak orang lain rosak dan sebagainya. Ingatlah, langit tidak selalu cerah, laut tidak selalunya tenang.

Kita boleh cakap semua perkara perihal keluarga orang, belum tentu kita mati esok dalam keadaan semuanya baik. Jika direzekikan Allah SWT kita hidup 60 tahun lagi, pada ketika itu anak cucu kita melakukan kesalahan dan bermasalah. Adakah kita suka orang luar bercerita perihal dalam kain keluarga kita? Saya tidak rasa kita suka.

Terkadang kita ini sudah melepasi garisan merah, dahulu orang sibuk menjaga “Tepi kain orang“, berbeza dengan hari ini, orang sudah mulai masuk “Dalam kain orang“. Bagi saya ini sudah melampaui batas dan kita sebenarnya tidak sedar apa yang kita katakan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT kelak.

Firman Allah SWT,
Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

(Surah Al-Isra[17]: 36)

Ramai daripada kita yang mengambil remeh dalam perihal mengata atau mengumpat orang lain, bahkan sehingga memfitnah. Kita sendiri tidak tahu apa yang terjadi, bahkan tidak tahu cerita hujung pangkal, itu pun hanya mendengar kata-kata orang atau tulisan daripada orang lain, terus membuat andaian sendiri dan menyebarkannya. Adakah kita lupa kita akan dipertanggungjawabkan?

Mungkin ada yang cakap “Ala.. Benda betul, mengumpat apa bendanya?

Agama tidak berjalan seperti kehendak apa yang kita mahu, agama bergerak atas kemahuan Allah SWT.

Sabda Nabi SAW,
“Tahukah kamu apa itu Ghibah?” Mereka menjawab: Allah dan Rasulnya lebih mengetahui.
Baginda bersabda: Iaitu engkau menceritakan saudaramu apa yang tidak ia suka.
Ada yang bertanya: Bagaimana jika apa yang aku katakan benar-benar ada pada saudaraku?
Baginda menjawab: Jika padanya memang ada apa yang engkau katakan maka engkau telah mengumpatnya dan jika tidak ada maka engkau telah membuat pembohongan keatasnya.

(HR Muslim)

Sedarlah yang sebenarnya kita hari ini terlalu banyak mengumpat perihal orang lain, bahkan sabda Nabi jika apa yang kita katakan tidak betul, kita telah membuat suatu pembohongan terhadap dirinya. Adakah kita ini lalu tekak untuk memakan daging saudara kita yang telah mati?

Firman Allah SWT,
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

(Surah Al-Hujurat[49]: 12)

Kita hari ini tidak memahami konsep mengumpat dan memfitnah. Bagi kita, apa yang orang buat, kita berhak berkata-kata dan kita anggap itu dibolehkan, sedangkan sepertimana Sabda Nabi, apa yang kita katakan pada orang lain, walau betul sekalipun, ianya dianggap mengumpat. Tetapi pastinya apa yang kita kata, kita sendiri pun tidak tahu hujung pangkal, betul atau salah. Mungkin kita bukan hanya sekadar mengumpat, bahkan membohong, fitnah orang lain.

Dalam dunia yang serba gila ini, jika tiada benda bermanfaat untuk berkata-kata, berdiam itu lebih bermakna dan berharga daripada berkata-kata yang akan menimbulkan dosa dan mengheret kita ke neraka.

Sabda Nabi SAW,
“Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam”

(HR Bukhari)

Sabda Nabi SAW,
“Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun”

(HR Ahmad)

Adakah ianya berbaloi dengan keseronokan mengata perihal orang lain dan akhirnya kita tergelincir ke dalam neraka oleh kerana keseronokan yang sementara? Saya tidak fikir sebegitu rupa.

Saya tahu akan ada yang tidak setuju dengan pandangan ini dan masih beranggapan mengata sesuatu perkara yang “betul” dianggap perkara biasa dan tidak salah. Tetapi saya membawa rujukan daripada Al-Quran dan Hadis Nabi SAW yang mengatakan sebaliknya. Tetapi itu terpulang kepada diri kita sendiri untuk mengambil atau membuangnya. Cuma ada satu nasihat buat diri saya sendiri.

Sabda Nabi SAW,
“Tahanlah lidahmu dan tetaplah dalam rumahmu, dan tangislah dosamu”

(HR At-Tirmizi)

Dosa kita sendiri pun tidak tertanggung, kenapa mesti kita mencari dosa lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *