Zaman Jepun Baik dan Nak Merdeka kan Tanah Melayu?

Assalammualaikum, selamat datang ke biskutkering.com

Bersempena dengan bahang Sambutan Hari Kemerdekaan Yang Ke-66 ini, terpanggil untuk saya menulis tentang pandangan yang mengatakan Zaman Jepun serba serbi baik, tidak kejam dan ingin memberi Kemerdekaan kepada Tanah Melayu dengan slogan “Asia untuk Asia”.

Terpanggil untuk saya menulis bilamana ada seorang Professor yang giat berjalan menceritakan kebaikan pihak Jepun kepada Tanah Melayu dan ingin memberi Kemerdekaan kepada orang Melayu. Sejujurnya saya tidak tahu adakah beliau hidup di Zaman Kegilaan Pihak Jepun atau tidak. Dan sebetulnya, saya tidak hidup di Zaman Kekejaman Jepun ke atas Tanah Melayu dan Orang Melayu.

Pertama saya bukan ahli sejarah, tetapi sebagai seorang yang mempunyai akal dan fikiran yang diberi oleh Allah SWT, kita perlu tahu sesuatu. Zaman Jepun dengan kita tidaklah begitu jauh seperti Zaman Portugis menyerang Kota Melaka. Ini fakta yang wajib kita tahu.

Jepun mula menyerang Tanah Melayu pada 8 Disember 1941 dan berakhir Zaman Jepun pada 1945.
Kenapa saya kata ianya tidak jauh Zaman Jepun dengan zaman kita hari ini?

Rata-rata yang mendengar cakap sejarah dari Professor ini umurnya lingkungan 30an, yang lahir pada tahun 80-90an. Agak mustahil mereka ini tidak mendengar cerita Zaman Kegilaan Tentera Jepun ke atas Tanah Melayu daripada Nenek atau Datuk kita pada tahun 2000an.

Jika Nenek kita umur 20an pada Zaman Kegilaan Jepun (1941) pada tahun 2000, Nenek kita umurnya lingkungan 80an, dan jika kita lahir umur 80-90an, kita masih (InsyaAllah jika umur panjang) sempat jumpa Nenek atau Datuk kita dan sangat mustahil Nenek Datuk kita tidak bercerita sedikit pun perihal Gila dan Kejamnya Tentera Jepun sewaktu dahulu. Sangat mustahil.

Terutamanya hari ini dengan luasnya media sosial, lebih luas lagi pengetahuan kita mengenai pengalaman-pengalaman yang diceritakan oleh Pesara Tentera kita menghadapi Kekejaman Zaman Jepun, buka sahaja di Youtube, pasti akan ada temu ramah daripada Pesara Tentera dan Nenek Datuk kita dahulu.

Balik kepada seorang Professor yang giat bercerita “kebaikan” pihak Jepun kepada bangsa Melayu. Beliau mengatakan sejarah telah diselewengkan. Saya kurang faham, diselewengkan yang bagaimana? Sedangkan riwayat Kekejaman Jepun yang kita dengar terus daripada orang yang pernah mengalami dan merasai betapa jahatnya Tentera Jepun seketika dahulu.

Kita mendengar riwayat terus daripada orang yang hidup di Zaman Kegilaan Tentera Jepun. Atau mungkin daripada Nenek kepada Mak kepada kita. Atau mungkin daripada filem Sarjan Hassan (1958). Zaman ini tidak begitu jauh. Dan orang yang bercerita dan buat filem mengenai Kekejaman Tentera Jepun wujud, hidup dan merasai zaman itu.

Kesemua cerita yang kita dengar dan lihat, tidak jauh dari segi tahun, waktu dan zaman. Apakah maksud yang diselewengkan oleh Professor tersebut?

Alhamdulillah, saya sendiri sempat mendengar cerita Kegilaan dan Kekejaman Jepun daripada Nenek saya sendiri. Adakah Nenek saya menyeleweng sejarah kegilaan dan kejahatan pihak Jepun yang kejam? Kalau Professor itu kata “benar diselewengkan”, ini sesuatu yang gila dan tidak masuk di akal.

Zaman kekejam Pihak Jepun ke atas kita memang tidak boleh dinafikan lagi, bahkan kekejaman Zaman Jepun dirasai oleh banyak negara yang dijajah mereka dan kekejaman mereka dikenali serata dunia. Lihat sejarah Korea (Filem The Battleship Island, 2017) orang yang dizalimi ada yang masih hidup ketika ditemu ramah. Persoalannya, apakah maksud sejarah yang diselewengkan oleh Professor ini?

Ketika Zaman Kekejaman Pihak Jepun, zaman itu makan pun susah, di siksa teruk, wanita remaja di r*g*l dan menjadi kepuasan nafsu serakah mereka. Ada yang diculik, ada lelaki yang dipaksa menjadi buruh kasar, dibawa ke negara jajahan mereka, ada yang hilang, ada yang mati, ditampar, di p*nc*ung, ada yang dibunuh, dipaksa tunduk dan sebagainya.

Sejarah yang keluar daripada mulut yang merasai Zaman Kegilaan dan Kekejaman Jepun ini nak dicampak ke mana? Jika semua yang Jepun buat semuanya baik, bagaimana sejarah yang jahat ini? Diselewengkan? Apakah betul atau tidak Professor ini?

Janganlah kita hanya mendengar cerita kisah cinta di antara Embun dan Koishi dan lupa kekejaman Jepun yang dilakukan kepada Abang Bayu. Jangan pula kita sembunyikan kisah Melati dan kawan-kawannya yang di r*g*l bukan sekali dua. Mana nilai diri dan keadilan kita. Tiadakah rasa sedih dan simpati terhadap perjuangan Nenek Datuk kita yang merasai kekejaman yang sangat teruk oleh Zaman Tentera Jepun?

Sebagai manusia yang waras dan diberi akal, setiap perkara yang dicerita perlulah didengar dan ditapis walaupun ianya datang dari seorang Professor. Kita perlu lihat inti pati, hujah dan rujukan yang setiap orang sampaikan. Bukan disebabkan orang itu Professor hatta Ustaz sekalipun, jika kata-katanya itu pelik dan tidak masuk diakal, kita boleh tolak. Salah satunya perkara ini, “Jepun Sangat Baik Dan Mesra Di Tanah Melayu”.

Waallahuaklam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *