Senarai Filem Senario Sepanjang Zaman dan Senarai Anggota Senario

Assalammualaikum dan hai.. Selamat datang ke biskutkering.com

Pernah dengar nama kumpulan pelawak Senario tidak? Bagi yang lahir zaman tahun 90an kebawah atau lebih tepatnya lagi, membesar zaman 90an pasti zaman anda membesar disinari oleh lawak jenaka dari kumpulan Senario dan kumpulan sezaman dengannya. Kumpulan Senario bermula pada tahun 1996, jadi, sesiapa yang membesar ketika itu, pasti akan kenal Kumpulan Senario ini. Mana tidaknya, zaman dahulu mana ada gadget semua ini. Jika tidak bermain diluar, akan berada dihadapan televisyen, itu sahaja hiburan yang ada.

Bermulanya era filem Kumpulan Senario pada tahun 1999. Ketika ini Senario mendapat sambutan yang amat dahsyat, dengan persembahan konsert, sitkom, dan filem. Sehingga nama mereka memecah industri ke Singapura dan Brunei, hebat. Jom kita terokai filem-filem mereka dan ahli anggota Kumpulan Senario.

SENARIO THE MOVIE (1999)

Tajuk : SENARIO THE MOVIE
Minit : 120 Minit
Tarikh Tayangan : 14 Mei 1999
Pengarah : Aziz M Osman
Genre : Lawak
Terbitan : Grand Brilliance, Paradigm Film
Negara : Malaysia
Kos : RM 700 Ribu
Kutipan : RM 4.58 Juta

Filem ini mengisahkan seorang orang kaya yang ingin membeli sebidang tanah yang dimiliki oleh Pak Tam dilakonkan oleh A.R Badul, seorang yang tegas dan garang. Pak Tam tidak mahu menjual tanahnya kepada Shamsul (Shamsul Ghau Ghau).

Pelbagai kejadian dan suasana menjadi kacau bilau, ditambah lagi Azlee (Azlee) yang sentiasa membuat perangainya.

Wahid (Wahid) dan Mazlan (Lan Pet Pet) bekerja menjadi Hantu dan Penjaga Tiket disebuah Fun Fair yang dimilik oleh Apek (Saiful Apek).

Pak Tam mempunyai anak bernama Ina (Zahida Rafik). Disebabkan Pak Tam berdegil tidak mahu menjual tanah kepada Shamsul. Ina telah diculik oleh Shamsul sebagai tebusan.

Mereka saling mempersalahkan antara mereka sendiri dan timbulnya ketidakpercayaan antara mereka.

SENARIO LAGI (2000)

Tajuk : SENARIO LAGI
Minit : 118 Minit
Tarikh Tayangan : 25 Mei 2000
Pengarah : Aziz M Osman
Genre : Lawak
Terbitan : Grand Brilliance, Paradigm Film
Negara : Malaysia
Kos : RM 1.5 Juta
Kutipan : RM 4.37

Filem mengisahkan sebuah keluarga yang ingin bercuti ke Cherating. Azlee (Azlee) telah membeli sebuah kereta Wira berwarna hijau. Isterinya bernama Zati (Syanie) dan anaknya bernama Zali (Al Fariz). Dengan rasa seronoknya, mereka bercuti menaiki kereta baharu mereka.

Di dalam perjalanan, mereka terserempak dengan Yassin Alias Haranas Sutrisnor (Yassin Yahya). Zati menyuruh Azlee berhenti dan tumpangkan Yassin, tetapi dengan sikap bongkaknya Azlee, menolak dan menghalau Yassin keluar dari kereta.

Kemudian ketika dalam perjalanan, Azlee terserempak pula kereta yang rosak yang dimiliki oleh seorang wanita yang cantik bernama Linda (Umie Aida). Akhirnya Azlee sudi untuk tumpangkan Linda yang pernah beliau terjumpa di stesen petrol.

Dalam masa yang sama, Mazlan (Lan Pet Pet) seorang penarik kereta sedang mencari kereta Wira berwarna hijau yang mana kereta itu ada masalah dengan bank. Mazlan dapat tahu kereta Wira hijau itu sedang menuju ke Cherating. Dan beliau bergegas ke Cherating. Dalam perjalanan beliau terserempak dengan Yassin yang dalam keadaan sedih.

Disebuah pekan, tidak semena-menanya Azlee terlanggar motor yang dipandu oleh Saiful (Saiful Apek). Kemudian Saiful kemalangan dan telah pengsan.

Ketika ini, munculnya seorang pencuri kereta dan ejen menjual kereta haram bernama Wahid (Wahid), kemudian mencuri kereta Azlee.

Pelbagai kejadian dan kebetulan yang berlaku didalam kisah ini. Tidak semena-mena Kamala (Siti Nora Bobbi) pula diculik.

LAGI-LAGI SENARIO (2001)

Tajuk : LAGI-LAGI SENARIO
Minit : 110 Minit
Tarikh Tayangan : 14 Disember 2001
Pengarah : Aziz M Osman
Genre : Lawak
Terbitan : Grand Brilliance, Paradigm Film
Negara : Malaysia
Kos : RM 1.58 Juta
Kutipan : RM 6.33 Juta

Filem ini mengisahkan sebuah warung bernama Warung Azlee yang sudah bertahun-tahun lamanya beliau membuka warung dikawasan situ. Azlee (Azlee) mempunyai dua orang pekerja bernama Saiful (Saiful Apek) seorang penebar roti canai yang hebat dan roti canainya antara yang tersedap. Yassin (Yassin Yahya) pula seorang pelayan pelanggan. Azlee mempunyai pelanggan tetapnya yang akan sentiasa berada dikedainya, Muthusamy (Accapan) dan Lee Ah Cai (Robert Kong)

Dalam pada masa yang sama Wahid (Wahid Mohd) telah dibuang kerja disuatu Restoran Perancis. Disebabkan itu juga beliau terpaksa menjadi sesumpah di sebuah kedai membeli belah. Kerana asyik sehingga menakutkan kanak-kanak, Wahid ditumbak bapa kanak-kanak tersebut dan dibuang kerja. Akhirnya Wahid dihalau keluar dari rumah kerana tidak mampu membayar sewa dan terpaksa tidur merempat, tertidur di kedai Azlee.

Tidak lama kemudian, datang seseorang yang ingin membuka kafe disebelah Warung Azlee. Mazlan (Lan Pet Pet) bersama adiknya Maya (Ani Mayuni) dan anak buahnya bernama Mazlin (Wardina Safiyyah), membuka Kafe Selera Canggih. Mereka ingin bersaing dengan Warung Azlee dan mengadakan karaoke sebagai daya tarikan di kafe mereka.

Pelbagai isu yang sentiasa diadakan, dari mencuri pelanggan sehingga mencuri pekerja. Naik dan turun dalam berniaga dan sebagainya.

LANG BUANA (2003)

Tajuk : LANG BUANA
Minit : 115 Minit
Tarikh Tayangan : 4 Disember 2003
Pengarah : Mamat Khalid
Genre : Peperangan
Terbitan : Grand Brilliance
Negara : Malaysia

Filem ini mengisahkan 3 pemuda bernama Bercabang (Azlee), Daik (Wahid Mohd) dan Gunung (Saiful Apek) yang menjadi hamba abdi Orang Kaya Seri Bentan. Kemudian mereka melarikan diri menaiki rakit dan terdampar disebuah kota, Kota Lang Buana. Sesampainya mereka, mereka disambut dengan meriah dan diangkat sebagai anak Raja oleh Dato Merewang (Kuswadinata)

Kiambang (Lan Pet Pet) yang menjadi orang kanan berasa iri hati dan Kiambang tidak menyukai ketiga-tiga pemuda ini kerana tidak tahu asal usul telah diangkat sebagai anak raja. Ini akan menggugat jawatan dan pengaruhnya.

Di Kota Lang Buana, tiga pemuda ini telah jatuh hati dengan tiga wanita Lang Buana, Kesuma (Tengku Sariwani) anak kepada Dato Mereweng, Cik Pah (Adza Tutyrianti) dan Xin Xin (Tan Sue Len).

Disebabkan terdapat permasalahan di daerah Lang Buana kerana pergaduhan diantara Dato Mereweng dan Sang Nira. Peperangan tercetus di daerah itu. Dato Mereweng tidak mampu melakukan berseorangan dan meminta bantuan daripada Tauke Wong Pak Eu (Loloq) ayah kepada Xin Xin, Diponingrat Pemanahan Berapoeke Kiyemau (S Amin Shahab) dan Abang Haji (M Rajoli), yang mana pada mulanya merek tidak setuju untuk memberi bantuan kerana terdapat sengketa antara daerah-daerah mereka.

Terdapat banyak permasalahan yang mereka hadapi untuk mempertahankan Kota Lang Buana dan akhirnya peperangan besar antara mereka tercetus.

SENARIO XX (2005)

Tajuk : SENARIO XX
Minit :
Tarikh Tayangan : 19 Mei 2005
Pengarah : Aziz M Osman
Genre : Makhluk Asing
Terbitan : Grand Brilliance
Negara : Malaysia
Kos : RM 1.82 Juta
Kutipan : RM 2.32 Juta

Filem ini mengisahkan makhluk asing yang terdampar di Bumi. Zoragon (Wahid Mohd) yang berasal dari Planet Marikh yang cuba melarikan diri dari Zoragas (Saiful Apek) dan Zolidia (Siti Fazurina) demi untuk menyelamatkan tabung tenaga. Kerana kapal angkasa Zoragon ditembak oleh Zoragas, Zoragon jatuh ke Bumi.

Siti (Nur Fazura) telah berjumpa dengan Zoragon yang mana Zoragon telah menukar dirinya menjadi Wan Zaman, Siti sangat meminati Wan Zaman.

Siti mempunyai tunang bernama Rosman (Lan Pet Pet), disebabkan Rosman terlalu cemburukan Siti dan Zoragon, timbul permusuhan antara Rosman dan Zoragon.

Di kampung ini, terdapat seorang bomoh yang terkenal bernama Wak Kernal (Azlee), jika apa-apa berlaku perkara yang aneh, Wak Kernal akan dipanggil untuk berubat.

Terdapat seorang bernama Maktub (Yassin Yahya) yang mana beliau mempunyai masalah dan Maktub selalu menjadi bahan uji kaji Wak Kernal.

Pelbagai cara mereka untuk menyelamatkan tabung tenaga dan sekaligus menyelamatkan Bumi dari Zoragas yang cuba untuk menghancurkan Bumi.

SENARIO PEMBURU EMAS YAMASHITA (2006)

Tajuk : SENARIO PEMBURU EMAS YAMASHITA
Minit : 100 Minit
Tarikh Tayangan : 18 Mei 2006
Pengarah : Aziz M Osman
Genre : Mencari Harta Karun
Terbitan : Grand Brilliance
Negara : Malaysia
Kos : RM 1.49 Juta
Kutipan : RM 1 Juta

Filem ini mengisahkan sekumpulan yang ingin memburu harta karun yang dikenali sebagai Emas Yamashita. Jali (Que Haidar) telah dimasukan ke dalam wad mental kerana semasa beliau bertugas, beliau telah terserempak dengan seorang askar Jepun.

Doktor yang merawat Jali, Dr Lisa (Nora Danish), Murad (Beega). Murad seorang yang agak jahat dan sentiasa mengugut Jali. Murad suka pada Dr Lisa.

Seman (Lan Pet Pet) telah kecewa dengan isterinya kerana isterinya curang pada Doktor Pakar Motivasi. Boy (Azlee) kawan kepada Seman dan Put (Wahid) seorang yang gila-gila, mereka mendapat tahu ada sebuah tempat tersimpannya harta karun Yamashita.

Mereka berjumpa dengan Tagaya (Ilya Buang) seorang lelaki Jepun dan seorang YB (Hamdan Ramli) yang inginkan kekayaan dan gila kuasa.

Pelbagai cara mereka ingin mendapatkan harta tersebut dan pelbagai insiden yang berlaku.

Ulasan :

Jika dilihat kesemua filem-filem Senario ini, sebenarnya filem mereka bukanlah filem komedi atau komedi sepenuhnya, tetapi lebih kepada serius. Cuba diperhatikan betul-betul, komedinya dimasukan hanyalah sekadar selingan dan tidak banyak, tapi setiap babak komedinya memberi kesan berbanding dengan filem baharu yang dikatakan komedi dari babak pertama hingga babak akhir, tapi untuk kita gelak agak sukar, hanya sekadar sengih dan tersenyum sahaja. Berbeza dengan filem Senario. Walaupun babak komedinya bukan semua, tetapi memberi kesan komedinya sehingga ke zaman ini.

Cuba tonton semula Senario The Movie 1999, watak Pak Tam yang dilakonkan oleh AR Badul, sikit punya serius. Shamsul Ghau Ghau watak jahat. Tapi sekali sekala datang babak komedi, mesti kita akan gelak.

Senario Lagi 2000, kebanyakan babak yang ada, biasa-biasa sahaja. Bukanlah babak komedi sangat. Bila datang watak Saiful dilakonkan oleh Saiful Apek, barulah kita nampak komedinya muncul. Dan babak Yassin dan Kamala menyanyi Bollywood.

Lagi-Lagi Senario 2001, yang ini bagi saya istimewa sikit. Kerana filem ini lah membuat saya duduk dalam bilik air lama sebab duk tebar baju. Saya yakin anda yang berada sezaman dengan saya babak tebar baju dalam bilik air ini menjadi fenomena, semua pakat duk tebar baju t-shirt dalam bilik air. Filem ini pun bukanlah sepanjang masa berkomedi, ada babak serius, sedih, kecewa. Lihat bagaimana pelakon profesional, mereka tahu bagaimana nak menyesuaikan diri di setiap babak mereka. Senario terkenal dengan pelawak, tapi mereka sangat method.

Filem Lang Buana 2003 ini sangat berbeza lebih kepada serius, dan sangat jarang ditemui babak komedi. Tetapi untuk saya, saya tidak pernah jemu untuk menonton, terlebih lagi ianya arahan Sutradara Arwah Mamat Khalid. Tidak pernah terfikir Mamat Khalid buat filem sebegitu dan digabungkan lagi bersama kumpulan Senario, memang terbaiklah.

Filem Senario XX 2005 pula lain ceritanya, bilamana Aziz M Osman mengambil semula Kumpulan Senario dan memasukan elemen otak Aziz M Osman. Kita tahu filem XX Ray datangnya dari beliau, jadi, tidak hairanlah Aziz M Osman membuat filem Senario sebegini rupa. Kisah makhluk asing, filem ini pun jarang kita jumpa babak lawaknya. Tetapi Senario XX ini memang seronok untuk di tonton sebenarnya.

Senario Pemburu Emas Yamashita 2006, jika ditanya saya, bila agaknya kejatuhan filem Senario, mungkin ketika ini. Sebab jalan ceritanya kita sudah tidak nampak lagi ke-Senario-annya. Rasa berbeza sangat. Tidak tahu mana silapnya.

Kesimpulannya :

Sebenarnya lawak Senario dalam setiap filem dari Senario The Movie 1999 sehingga ke Senario XX 2005 ini datang dari mana. Apa yang diperhatikan filem mereka serius sahaja. Nak tahu dari mana? Ianya datang dari Kumpulan Senario itu sendiri. Dan pelakon yang hebat tidak mampu berdiri seorang didalam filem tanpa pengarah yang hebat juga.

Banyak lagi filem Senario terkemudian, seperti Senario The Movie : Episod 1 2008, Senario The Movie : Episod 2 2009. Senario Asam Garam 2010 yang bagi saya agak senorok juga. Senario The Movie Ops Pocot 2010. Dan yang terbaharu Jaga-Jaga Senariounion 2022.

Cuba anda bandingkan filem terdahulu Senario yang serius dengan filem Senario yang terkemudian yang mana mereka cuba untuk mengkomedikan, cuba buat gaya body langguage supaya nampak komedi, buat-buat gaya lembut dan sebagainya. Saya yakin anda akan pilih filem Senario yang terdahulu yang lebih serius berbanding filem Senario yang cuba dikomedikan.

Adapun sitkom Senario, adalah sitkom komedi terbaik sepanjang zaman. Buat masa ini, saya tidak jumpa sitkom setanding dengan Senario. Dan Kumpulan Senario kumpulan yang terbaik. Sebab apa saya kata terbaik, walaupun filem kemudiannya saya tidak minat?

Filem adalah filem dan kumpulan adalah kumpulan, carilah satu kumpulan asli pelawak yang boleh berkomedi, bernyanyi, bermain alat muzik dan boleh mengadakan konsert sehingga ke Singapura dan Brunei.

Senario pernah menyertai Anugerah Juara Lagu 2000 sehingga ke separuh akhir menerusi lagu Cari Tapak dan tahun 2003 menerusi lagu Joget Berbalas Pantun. Final Anugerah Juara Lagu menerusi lagu Cepat Kaya tahun 2000 dan Zapin Cinta SMS bersama Adibah Noor pada tahun 2006. Kita bukan bercakap mengenai seorang penyanyi, tetapi sekumpulan pelawak yang menjadi fenomena ketika itu.

Berbezanya pelawak zaman kini, mereka banyak menggunakan lawak lucah dan body shaming, yang mana kadang kala lawaknya tiada kualiti dan membuatkan orang rasa menyampah. Yang paling teruk, ada antara mereka yang menggunakan agama sebagai lawak jenaka tanpa ada rasa bersalah.

Ini berbeza dengan pelawak dahulu, bukan menafikan mereka tidak menggunakan lawak berunsur lucah atau body shaming, tetapi sangat jarang ditemui, bukan setiap hari atau minggu itu sahaja lawaknya. Mungkin kerana itulah mereka pelawak lama jatuh dan tidak relevan pada hari ini, kerana untuk mendapat lawak yang asli tanpa sebarang unsur sarkastik, lucah, body shaming, dan menggunakan agama sebagai bahan jenaka, sangat sukar, dan memerlukan ilham yang banyak setiap kali persembahan. Hari ini ada pelawak buat lawak atas pentas mengambil idea dari lawak tiktok sahaja. Itulah kehebatan pelawak dahulu dan Kumpulan Senario.

Nama Senario diambil dari perkataan Senang-Riuh oleh Farouk Hussain, kemudian perkataan Senario diilhamkan kembali oleh Shamsul Ghau Ghau. Sitkom Senario bermula pada tahun 1996 dan telah mendapat sambutan hangat.

Setelah lama menyepi, Kumpulan Senario telah membuat kemunculan semula dan diberi nama Senariounion dan baru-baru ini setelah sekian lama, filem baharu Senario berjudul Jaga-Jaga Senariounion telah keluar di Astro First.

Cuma terdapat sedikit kekecewaan yang mana Lan Pet Pet tiada dalam filem tersebut. Banyak kemunculan Senariounion, Lan Pet Pet tidak ikut serta. Saya harap jika mereka mempunyai persengketaan dari kalangan mereka, dapat diselesaikan. Kerana peminat Senario inginkan kemunculan kesemua ahli Senario.

Bagi saya, setiap ahli Senario mempunyai auranya yang tersendiri, mereka mempunyai killer dan feeder mereka, dan apa yang menariknya mereka tidak memakan sama sendiri dan membunuh lawak anggota yang lain untuk cuba menaikan nama mereka. Hamdan dan Ilya mempunyai kehebatannya sendiri begitu juga dengan Saiful Apek, Yassin, Azlee, Wahid dan Lan Pet Pet. Tidak lupa juga Farouk Hussain dan Shamsul Ghau Ghau, ingat, mereka ada sumbangan mereka pada Kumpulan Senario, dan nama itu sendiri datangnya dari ilham mereka.

Ini sekadar pendapat saya sahaja. Senario, kumpulan pelawak sepanjang zaman.

Terima kasih Kumpulan Senario kerana telah menyinari zaman membesar saya. Semoga kesemua ahli Senario sihat sentiasa, sentiasa dimurahkan rezeki, selamat dunia dan akhirat.

Kembalikan Senario Era Terdahulu.

Ahli Kumpulan Senario :

Azlee Jaafar (1996 – Kini)
Abdul Wahid (1996 – Kini)
Lan Pet Pet (1996 – Kini)
Hamdan Ramli (1996 – 1998, Kini)
Ilya Buang (1996 – 1998, Kini)
Saiful Apek (1998 – 2004, Kini)
Yassin Yahya (1999 – 2002, Kini)

Bekas Ahli Kumpulan Senario :

Shamsul Ghau Ghau (1996)
Farouk Hussain (1996)

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published.