Assalammualaikum dan hai.. Selamat datang ke biskutkering.com
Tv Series Netflix Squid Game
Tajuk : Squid Game
Durasi : 50+- Minit Per-episod
Episod : 9 Episod
Tarikh Tayangan : 17 September 2021
Pengarah : Hwang Dong-hyuk
Genre : K-Drama, Aksi, Survival
Terbitan : Siren Pictures Inc
Netflix
AMARAN: Tv Series ini untuk tontonan 18+ dan mengandungi unsur KEGANASAN, SEKS, NUDITY, dan PEMBUNUHAN. Tidak sesuai untuk tontonan bersama keluarga(anak)
ADEGAN SEKS : EPISOD 4, MINIT KE 27:18 – 30:10
ADEGAN NUDITY : EPISOD 7, MINIT KE 41:00 – 42:00

Tv Series Squid Game ini mengisahkan mengenai survival game, yang mana setiap pemain perlu melakukan kesemua permainan dan jika kalah, mereka akan disingkirkan, dalam kata erti lain, ditembak mati.
Kesemua permainan yang dimainkan dalam filem ini adalah permainan yang pernah mereka bermain suatu ketika dahulu semasa mereka kanak-kanak. Ini akan mengimbau kenangan mereka sewaktu kecil dahulu. Tetapi kali ini dengan cara yang berbeza. Siapa kalah, akan ditembak, dibunuh dan mayatnya akan dibakar, walaupun pada ketika itu pemain nyawa-nyawa ikan. Tiada belas kasihan.
Setiap pemain didalam permainan ini, kesemuanya mempunyai kisah silam yang berbeza yang membuatkan mereka berada di dalam permainan ini. Setiap pemain mempunyai hutang jutaan won, bahkan bilion won. Dan ada juga yang tiada hutang, tetapi memerlukan duit.
Terdapat watak utama yang akrab dengan persahabatan mereka, Seong Gi-hun, Kang Sae-byeok, Ali, Ji-Yeong, Oh Il-Nam, Cho Sang-woo. Setiap misi permainan, mereka akan bersama. Mereka mempunyai masalah mereka sendiri. Kang Sae-byeok dari Korea Utara, manakala Ali dari Pakistan. Mereka sangat memerlukan wang untuk hidup di Korea Selatan. Mereka kesemuanya berada dikumpulan baik.
Manakala terdapat sekumpulan yang kuat yang akan melakukan apa sahaja untuk menang, mereka diketuai oleh Jang Doek-soo dan seorang doktor Byeong-ki.
Penceritaan epik mereka bermula bilamana mereka terpaksa melepaskan diri untuk hidup. Ketika itulah mereka akan melihat, siapa kawan dan siapa lawan.
Kesemua permainan yang mereka bermain mempunyai 6 permainan. Bermula lampu Red Lights Green Light, berakhir dengan Squid Game
Apakah cerita selanjutnya?
Siapakah kawan dan siapakah lawan?
Siapakah dalang didalam permainan ini?
Siapakah pengasas permainan ini?
Pastikan anda menonton tv series Squid Game di Netflix.
Lakonan dari pelakon hebat:
Lee Jung-jae – Seong Gi-hun
Park Hae-soo – Cho Sang-woo
Jung Ho-yeon – Kang Sae-byeok
Oh Young-soo – Oh Il-nam
Tripathi Anupam – Ali Abdul
Hoe Sung-tae – Jang Doek-soo
Kim Joo-ryung – Han Mi-nyeo
Lee Yoo-Mi – Ji-yeong
Yu Seong-ju – Byeong-ki
Wi Ha-joon – Hwang Jun-ho
Gong Yoo – Suit Man
Lee Byung-hun – Front Man
Kim Young-Ok – Ibu Seong Gi-hun
Jo A-in – Seong Ga-yeong
Kang Mal-geum – Ibu Seong Ga-Yeong
Ulasan:
Siri Squid Game ini bagi saya sangat terbaik dan mudah difahami dan mudah untuk kita tonton. Isu didalam Squid Game ini tidak terlalu berat untuk kita layan. Dan bagi sesiapa yang tidak minat filem atau tv siri survival kerana banyak sangat kekejaman dan pembunuhan, saya rasa Squid Game ini anda perlu tonton. Sebab Squid Game ini tidak terlalu fokus hanya pembunuhan, tetapi diselang-selikan dengan babak sedih dan persahabatan dan terdapat juga babak yang mana mereka menceritakan kisah silam mereka. Boleh dikatakan anda boleh berehat seketika dari babak serius kepada babak santai.
Secara peribadi saya untuk mengulas tv siri Squid Game ini, saya bukanlah peminat genre survival yang mana setiap episod dan setiap babak tidak lari dari pembunuhan, kekejaman dan psiko. Tetapi, berbeza dengan tv siri ini, saya menontonnya kesemua 9 episod secara terus menerus dalam masa kurang lebih 8jam, saya rasa sangat menarik. Seseorang yang tidak gemar menonton filem atau tv siri survival, tetapi enjoy menonton Squid Game.
Cumanya terdapat babak s*ks yang berada di episod 4 yang mana bagi saya, kalau pengarah tidak meletakannya pun, bagi saya tiada masalah, tidak mengurangkan atau mencacatkan siri ini. Saya sangat pejuangkan filem atau siri dan ‘bersih’. Kadang kala adegan itu tidak membawa maksud apa-apa pun bahkan, tidak berkesinambungan pun. Ada pun tidak mengganggu jalan cerita, tiada pun tidak mengganggu jalan cerita. Tetapi, memang ada satu istilah meletakan adegan ini suatu “seni”. Cumanya, disebabkan satu babak itu, kita jadi tidak selesa untuk menontonnya bersama orang lain dan untuk memberitahu kepada orang lain. Sedangkan cerita ini menarik dan patut kita tonton, cerita ini mengajar kita nilai persahabatan yang agak besar dan nilai survival. Apa yang patut kita buat pada ketika itu. Tetapi disebabkan satu dua adegan, menjadi masalah, kerana itu saya memberitahu terlebih awal, supaya anda boleh berjaga-jaga. Tidak perlu berseni perkara yang tidak patut untuk disenikan. Baiklah, selesai kritik hal ini.
Sepanjang saya menonton siri Squid Game ini, saya tidak merasakan bosan atau merasakan setiap episod naik dan turun graf penceritaan. Mungkin pada awalnya episod 1 agak sedikit perlahan. Namun, bilamana episod 2, siri ini semakin rancak, dan setiap episod anda akan rasa nak tonton dan tonton lagi.
Tetapi, saya tidak mahu mengatakan kesemua episodnya terbaik dan semua babaknya cantik. Kita perlu jujur sekadar pandangan dan pendapat kita. Setiap filem atau drama, pasti akan ada kekuranganya dan setiap orang ada pendapat dan pandangannya yang tersendiri.
Untuk saya, saya tidak berminat langsung dengan babak bilamana kehadiran sekumpulan VIP, dan babak VIP berada di bilik tayangan. Saya tidak tahu kenapa dan mengapa. Setiap lontaran dialog mereka sangat tidak nature. Cara mereka berdialog, cara mereka mencarut, sangat tidak real dan kelihatan fake. Terlebih lagi VIP yang suka pada Hwang Jun-ho itu. Sangat tidak menyeronokan. Boleh dikatakan feel atau perasaan pelakon itu tiada langsung. Saya tidak tahu, mungkin saya seorang sahaja yang merasakan begitu. Tetapi, setiap kali babak VIP itu muncul, terasa macam nak skip sahaja. Jika anda pun merasakan perkara yang sama, boleh komen di ruangan komen dibawah. Bagi saya, kehadiran mereka, dia mencacatkan sedikit siri Squid Game. Sudahlah kehadiran mereka terdapat beberapa episod dan banyak babak. Untuk saya, ini sekadar pandangan dan pendapat saya sahaja, babak ini sangat tidak seronok. Keganasan pada muka dan jiwa mereka pun tidak kelihatan, sedangkan mereka menonton permainan membunuh orang. Front Man memakai topeng, tetapi kita boleh lihat lagaknya, percakapannya, sangat terbaik.
Dalam banyak babak, saya sangat tertarik dengan babak persahabatan. Bilamana mereka menceritakan tentang kehidupan mereka, sangat terkesan. Jika anda mengatakan babak Seong Gi-hun dengan Oh Il-nam sedih dan tersentuh kerana ada nilai orang tua. Jika anda mengatakan babak Cho Sang-woo dengan Ali menyelebungi kesedihan.
Untuk saya, kisah persahabatan dan kesedihkan diantara Kang Sae-byeok dan Ji-yeong lebih menghayat hati. Sebab apa saya mengatakan begitu? Anda perlu menontonnya sendiri. Dari babak awal mereka bertemu hingga tamat cerita, saya telah memilih kisah mereka untuk diangkat sebagai kisah persahabatan yang paling epik. Mereka baru sahaja berjumpa, mereka menceritakan kisah mereka, mereka mempercayai satu sama lain, dan akhirnya salah seorang diantara mereka mati disebabkan persahabatan dan kepercayaan mereka. Sangat epik! Ini pendapat dan pandangan saya sahaja, mungkin anda sebaliknya. *Penafian: Saya memilih kisah mereka bukan kerana mereka wanita.
Apa yang saya tahu pemegang watak Kang Sae-byeok iaitu Jung Ho-yeon, ini kemunculan pertama beliau dalam dunia lakonan. Jika benar ini lakonan pertama Jun Ho-yeon, beliau sangat berbakat.
Secara keseluruhan siri Squid Game ini, sangat terbaik, sangat seronok untuk ditonton. Setiap episod ada penceritaannya yang tersendiri, dan setiap episod anda pasti tertunggu-tunggu. Siri ini seolah-olah tergantung dan mungkin akan ada musim ke-2, yang pastinya membuatkan anda tertunggu-tunggu sama seperti saya. Anda perlu tonton setiap episod Squid Game ini, yang mengambil masa 8+- jam.
Seperti yang saya beritahu awalnya tadi, siri ini tidak terlalu memfokuskan tentang permainan pembunuhan sahaja. Ada kisah persahabatan, ada juga babak penyiasatan, ada juga babak pengkhiatan, ada juga kisah yang terjadi didalam organisasi tersebut. Jadi, kita tidak hanya akan dibayangi dengan babak pembunuhan dan kekejaman sahaja.
Setiap watak dalam siri ini berkembang dari episod ke episod. Jadi, pastikan anda menontonnya setiap episod. Boleh lihat bagaimana watak mereka berubah dari masa ke semasa, dari tiada nilai persahabatan kepada orang yang mereka sayang. Dan dari orang yang mereka sayang menjadi musuh.
Oh ya, saya suka soundtrack yang digunakan dalam siri Squid Game ini. Tidak terlalu serius dan tidak terlalu fokus. Lagunya membuatkan kita hayal melihat permainan diwaktu kecil dan dalam masa yang sama membuatkan anda merasa cemas, dan seolah-olah menunggu, apa yang akan jadi selepas ini. Sangat menarik. Ada permainan mereka yang seakan sama dengan kita juga. Semua pelakon utama membawa watak mereka dengan sangat baik.
Terdapat banyak pengajaran dalam tv siri Squid Game ini. Anda boleh lihat bagaimana kisah pengkhianatan antara mereka, sedangkan mereka berkawan. Bagaimana mereka cuba untuk mementingkan diri dan mengorbankan orang lain. Dan kita juga akan lihat kisah persahabatan antara mereka yang sanggup mengorbankan diri mereka sendiri demi kawan yang baru sahaja mereka kenal. Ini hakikat dunia, realiti dunia hari ini. Menjatuhkan orang lain atau mengorbankan orang lain, sudah sebati dengan dunia realiti hari ini.
Pastikan anda menonton Tv Series Squid Game di Netflix!
Sekian.