Review Filem Mat Kilau

Assalammualaikum dan hai.. Selamat datang ke biskutkering.com

Filem Mat Kilau

Tajuk : Mat Kilau
Minit : 110 Minit
Tarikh Tayangan : 23/6/2022
Pengarah : Syamsul Yusof
Genre : Aksi, Emosi, Pertempuran
Terbitan : Kembara Studio, Skop Production
Negara : Malaysia

Filem ini mengisahkan seorang pahlawan Melayu bernama Mat Kilau Bin Imam Rasu hidup pada tahun 1866 – 16 Ogos 1970 yang menentang keras penjajahan orang putih British di Pahang.

Mat Kilau dan beberapa saudaranya Wahid, Awang, Yassin dan Brahim tidak dapat menahan lagi dengan cara orang putih yang telah melanggar perjanjian demi perjanjian, membunuh orang Melayu, mengambil cukai yang tinggi, merendahkan institusi Raja dan Agama.

Mereka bersaudara telah berguru dengan Imam Rasu Bin Sharum atau dikenali sebagai Tok Gajah yang mana ayahanda kepada Mat Kilau. Tok Gajah telah menurunkan pelbagai ilmu mempertahankan diri termasuklah ilmu agama yang menjadi benteng kekuatan mereka.

Awang yang tidak dapat menahan kemarahan kepada puak British, akhirnya beliau telah melancarkan perang terhadap orang putih. Disebabkan peristiwa itu, British mulai marah dan melakukan serangan balas membunuh orang awam termasuk isteri kepada salah seorang dari mereka bersaudara.

Ini membuatkan Mat Kilau marah dan akhirnya Mat Kilau merancang untuk membalas serangan dengan perancangan yang sangat teliti, supaya orang Melayu boleh bertempur dan mengalahkan tentera British. Kemudiannya terjadilah peperangan besar diantara Mat Kilau dan saudaranya menentang tentera British.

Senarai Pelakon Mat Kilau

Dato Adi Putra – Mat Kilau
Beto Khusyairy – Wahid
Fattah Amin – Awang
Johan As’Ari – Yassin
Ali Karimie – Brahim
Tok Gajah – Wan Hanafi Su
Yayan Rihian – Toga

Geoff Andre Feyaerts – Syers
Khir Rahman – Usup
Farid Amirul – Goh Hoi
A.Galak – Pak Deris

Zarina Zainordin – Rokiah
Yang Chik – Farah Ahmad

Dato Jalaluddin Hassan – Dato Hj Muhammad
Dato Rahim Razali – Mufti Batok Hj Uthman
Namron – Hj Sulong Semantan
Shaharuddin Thamby – Dato Bahaman

Allie Suriaty – Ibu Yassin
Mubarak Majid – Ayah Yassin
Zack Zambrie – Hitam
Wan Suhaimi – Kelubi
Megat Terawis – Mat Hassan
Awie Bakri – Haji Ali
Harith Haziq – Omar

Mark Geoffrry – JP Rodger
David Abraham – Sir Clifford
Dennis Arthur – Professor Cameron
Ravi Pattel – Ghuram Singh

Ulasan:

Tiada apa yang boleh diungkap melainkan menakjubkan, mengagumkan dan terbaik! Tidak tahu untuk menulis apa sebab terlalu sempurna, walaupun ada beberapa kekurangannya, ini biasa. Tetapi keseluruhan filem ini sangat terbaik.

Dengan footagenya yang cantik, sound effect yang mantap. Menaikan lagi semangat Kemelayuan itu, membara bak api yang sedang marak. Pelakon-pelakon yang hebat, Adi Putra, Beto Khusyairy, Fattah Amin, Johan As’ari, Ali Karimie. Semuanya hebat, terutamanya Yayan Ruhian. Bagi saya, kita perlu bekerjasama lebih lagi dengan Yayan Ruhian dan boleh mengambil ilmu yang banyak daripada beliau.

Apa yang saya sangat menarik perhatian, Fattah Amin lakonkan wataknya sebagai Awang memang baik. Yelah, biasanya kita lihat lakonan Fattah Amin di Astro berlakon drama ala-ala macho, jaga keterampilan. Tapi untuk filem Mat Kilau, Fattah Amin membawa wataknya dengan sangat baik.

Kalau hendak bercerita mengenai Adi Putra dan Beto Khusyairy, ini tahap lain dah. Memang terbaik. Adi Putra memang biasa kita lihat watak aksi daripada beliau. Beto Khusyairy saya lebih suka cara beliau melontarkan dialog. Johan As’ari dan Ali Karimie pun tidak kurang hebatnya. Babak aksi dan pertempuran memang sangat baik.

Walaupun watak utamanya Mat Kilau dan saudaranya, jangan dilupakan watak-watak lain seperti Tok Gajah, Usup, Imam Bottoqh, Haji Muhammad, Haji Sulong, Pak Deris, Yang Chik, Rokiah, Goh Hoi dan lain-lain lagi. Ini semua watak penting terutamanya watak pembesar-pembesar Raja.

Mungkin ada yang kurang senang dengan sound effect dalam filem Mat Kilau ini kerana bunyinya yang terlalu berlebih-lebihan. Bagi saya, biasa sahaja. Sebab filem luar negara pun sama begitu, apatahlagi filem Tamil. Bagi saya, saya suka dengan kesan bunyi yang begitu. Bila dalam babak pertempuran terlebihlagi bahagian tumbuk, memang sedaplah bunyinya.

Banyak kata-kata semangat dalam filem Mat Kilau yang boleh dijadikan petikan untuk dijadikan membakar semangat ketuanan Melayu. Bagi saya, biarlah jika ada orang yang meratib “Ala.. Sudah-sudahlah tu dengan sejarah Melayu.. Pandanglah depan…“. Manusia berjalan kedepan kerana sejarah yang berada dibelakang. Jika tiada sejarah, maka, tiadalah ketamadunan. Berapa banyak bangsa yang ingin mengubah diri mereka kerana ingin mengubah masa silam dan sejarah mereka supaya menjadi lebih hebat? Barat mempunyai zaman kemunduran, dan mempelajari sejarah supaya mereka lebih maju pada hari ini.

Jadi, pentingnya sejarah untuk umat kedepan, supaya mereka tahu selok belok penjajah dan pengkhianat tanah mereka. Dan supaya generasi depan tahu ada bangsa asing yang duduk ditanah mereka tanpa berperang mempertahankan Tanah Melayu kemudian akhirnya bersenang lenang dan mengatakan Melayu pendatang dan Melayu malas. Pentingnya sejarah bilamana jika dahulu anda tersesat jalan masuk ke lorong kiri, kehadapan anda tahu sejarah telah salah, jadi perbetulkan dan masuk ke lorong kanan.

Filem Mat Kilau ini adalah filem terbaik abad ini, setelah filem Bukit Kepong, Embun, Leftenan Adnan. Bangsa Melayu sebenarnya dahagakan filem-filem sejarah seperti ini, sejarah kepahlawanan. Kita ada ramai lagi pahlawan yang boleh kedepankan lagi, jangan lupa Pahlawan Naning Dol Said juga (1773 – Ogos 1849), kita juga ada Pahlawan Kelantan Tok Janggut (1853 – 25 Mei 1915). Setiap negeri pada zaman itu mempunyai pahlawan mereka.

Cuma, ada satu perkara yang kalau nak ulas yang kurang sikit bagi saya iaitu bahasa yang digunakan. Kalau diikutkan zaman itu bahasanya sedikit baku atau jika ianya di Pahang, kemungkinan untuk bertutur dalam loghat Pahang itu ada. Tapi dalam filem ini tidak menekankan soal bahasa. Mungkin untuk mudahkan penonton dengar. Tapi itu tidak mengapa, tolak tepi. Cuma, sangat rugi jika kita tidak ketengahkan bahasa lama ini kerana bahasa merupakan harta yang bernilai yang tidak boleh kita tinggalkan.

Mungkin penonton akan cakap “Betul ke hebat sangat Mat Kilau ni… Cerita macam kartun je.. Melompat sana sini, macam melebih-lebih…“. Walaupun pelik, tetapi memang akan ada orang yang mempersoalkan perkara-perkara sebegini. Kalau tengok filem barat, terbaik gempak saja, tapi bila tengok filem Melayu Malaysia, macam ada skeptikal, ada sahaja benda yang tidak kenalah, tidak masuk akal lah.

Pertama, ini filem fiksyen, sebelum mula filem lagi, sudah diberitahu. Filem ini lebih kepada inspirasi Pahlawan Melayu bernama Mat Kilau, bukanlah filem 100% sejarah. Cuma sejarah yang kita dapat belajar dalam filem ini, siapa Mat Kilau dengan siapa beliau melawan penjajah dan bagaimana cara British menjajah kita, yang pada asalnya mereka masuk dengan perjanjian tetapi semakin lama mereka semakin melampau, inginkan Tanah Melayu dan mengutip wang cukai.

Kedua, memang Pahlawan Mat Kilau hebat, sehebat mana, itu saya tidak tahu, sebab saya tidak hidup sezaman dengannya. Tapi secara logiknya jika Mat Kilau tidak hebat, mana mungkin beliau masih hidup sehingga tahun 1970 (dengan izin Allah), kemungkinan beliau sudah dibunuh oleh tentera British. Jika beliau tidak hebat, beliau tidak diburu oleh pihak British secara besar-besaran. Kemudian, ketika pada tahun beliau munculkan diri, memang ada yang berkata adanya penuh dengan bekas parut luka kesan dari tembakan. Apakah tidak cukup kuat dan hebat bagi anda? Saya serahkan kepada anda untuk menilainya.

Secara keseluruhan filem ini, sangat terbaik dan sempurna bagi saya. Filem ini selayaknya berada di layar antarabangsa dan kerajaan sepatutnya menyokong produk filem yang seperti ini. Gunakan segala kemampuan untuk mempromosikannya. Bagi saya sangat penting, sebab…

Waktu saya hendak membeli tiket filem Mat Kilau, saya terdengar perbualan sekumpulan (lelaki) yang agak remaja jugalah, ada orang tanya “Filem Mat Kilau? Filem apa ni?“, jawab kawannya “Mat Kilau, pahlawan Melayu, kau tak kenal ke….“, dia jawab “Oooo…“. Saya pun macam “Oooo…“(dalam hati). Kemungkinan dia tidak mengenali atau tidak tahu filem tersebut.

Kemudian selepas selesai tonton filem Mat Kilau, ada kedengaran suara orang-orang muda jugalah (perempuan) “Bestlah filem ini, tapi nasib baik Mat Kilau tak mati…“. Siapa yang baca dan tahu sejarah, Mat Kilau tidak mati, jika filem ini dibuatkan Mat Kilau mati, maka, bukan lagilah sejarah Mat Kilau.

Kerana itu pentingnya filem-filem sejarah sebegini dan perlunya mempromosi dengan lebih besar lagi. Tetapi bagi saya, walaupun anak muda kurang tahu mengenai sejarah pahlawan Melayu, paling tidak mereka tetap turun menyaksikan filem ini dan memuji filem ini, pujian harus diberikan kepada mereka. Mungkin balik nanti mereka akan buka Google dan cari kisah Mat Kilau. Daripada segelintir dari kita yang tahu dan belajar sejarah pahlawan Melayu disekolah dan tidak mahu menyokong dan mengatakan bermacam-macam, ada sahaja yang tidak kena dengan filem kita, itu lebih teruk saya rasa.

Akhir kata, saya seru kepada anda untuk pergi ke pawagam menyaksikan filem hebat Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan ini. Bagi yang ada anak, bawalah, supaya minda mereka lebih terbuka untuk mengenali tokoh Pahlawan Bangsa Melayu kita. Biar mereka kenal suatu masa dahulu, Melayu tidak gentar pada sesiapa sahaja kecuali Yang Maha Esa. Orang Melayu mempertahankan Agama, Bangsa dan Tanah Air walaupun berbentengkan nyawa sekalipun. Bangsa Melayu adalah bangsa yang paling lembut dan bertolak ansur didalam dunia ini, tetapi, dalam tarinya ada tersimpan ketegasan dan diri seorang pahlawan.

Tidak sabar menunggu filem sejarah dan pahlawan seterusnya dari kembara studio. Kalau diikutkan filem Mat Kilau ini “Kebangkitan Pahlawan”, bukan cerita penuh Mat Kilau. Harap ada sambungan bagaimana Mat Kilau diwartakan sebagai pemberontak ditanah sendiri dan terpaksa mengasingkan diri, tersebarnya berita Mat Kilau telah gugur. Tetapi berita itu hanyalah khabar angin. Mat Kilau telah menukar nama kepada Mat Kelantan, akhirnya bertukar nama kepada Mat Siam. Semoga Allah rahmati Mat Kilau, pembela agama, bangsa dan tanah air.

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *