Pengalaman Dan Perkongsian Menaiki ETS, Keretapi Laju

Assalammualaikum dan hai.. Selamat datang ke biskutkering.com

Sejak akhir-akhir ini, kita dapat lihat ramai yang hendak bercuti kerana terlalu lama diperangkap oleh COVID-19. Tidak dinafikan COVID-19 merencatkan negara dalam sektor pelancongan. Kita bukan hanya tidak boleh keluar negara, bahkan didalam negara kita sendiri, Malaysia.

Dengan perlahan, sektor pelancongan dibuka sedikit demi sedikit. Walaupun ada sebilangan tempat masih dikawal dan masih tidak dibuka, tetapi, kebanyakannya sudah dibuka.

Ada yang menaiki kereta sendiri untuk pergi bercuti, ada yang naik pengangkutan awam kerana lebih mudah dan tidak penat. Apa yang saya nak kongsi ini adalah MENAIKI ETS (Electric Train Service), KERETAPI LAJU.

ETS

Pengalaman saya menaiki ETS memang sangat seronok. Apa yang bagusnya menaiki ETS ini, anda tidak perlu penat untuk memandu kereta dan anda boleh tenang dan tidur di dalam keretapi. Dan juga, anda boleh melihat pemandangan sekeliling disetiap perjalanan anda. Kalau perjalanan anda merentasi negeri sawah padi, anda akan disajikan dengan pemandangan sawah padi. Ini sangat menarik.

Mungkin ada yang tanya, “Pening tak naik keretapi atau ETS ini? Mabuk tak? Muntah tak?”

Saya seorang yang mudah mabuk bila naik kenderaan, boleh dikatakan teruk juga la. Kalau naik kereta, saya membaca mesej di telefon hanya beberapa minit, memang terus pening dan mabuk. Tetapi, dalam keretapi ETS ini, sepanjang perjalanan saya menggunakan telefon, mesej dan sebagainya. Hasil yang saya dapat, tidak pening dan mabuk. Jika ada pun, sedikit sahaja. Walaupun saya duduk mengadap hadapan mahupun belakang (sebab tempat duduk dalam ETS boleh mengadap utara selatan ya).

Jom kita berborak sedikit mengenai ETS ini.

ETS ini ada beberapa jenis keretapi,

  • SILVER
  • GOLD
  • PLATINUM

Dalam PLATINUM pula ada pecahan

  • ECONOMY CLASS
  • BUSINESS CLASS

Apa yang membezakan diantara SILVER, GOLD dan PLATINUM?

Yang membezakan diantara semua itu adalah kekerapan keretapi itu berhenti. SILVER lebih banyak stesen berbanding dengan GOLD, dan GOLD lebih banyak stesen dari PLATINUM. Jadi, lebih banyak sesuatu keretapi itu berhenti di stesen, masa yang diambil juga lebih panjang dan harganya juga lebih murah. Murah bukan sikit-sikit ya. Nanti kita lihat harganya. Kita akan pergi satu per satu. Saya hanya mempunyai pengalaman menaiki ETS jenis SILVER dan PLATINUM (Economy Class dan Business Class). Manakala SILVER belum pernah.

SILVER, saya tidak ada pengalaman menaiki jenis ini, sebab, apa yang saya tahu, keretapi SILVER ini hanya sampai ke Ipoh sahaja. Kiranya ini jenis keretapi berjarak dekat sahaja. Harga jenis ini dari KL SENTRAL ke IPOH, RM 28.00.

GOLD, keretapi jenis ini pula berjarak jauh sehingga ke Padang Besar. Harga pula dari KL SENTRAL ke PADANG BESAR, RM 82.00

PLATINUM, bagi keretapi jenis ini pula, berjarak sehingga ke Padang Besar dan mempunyai 2 pecahan, iaitu Economy Class dan Business Class. Harga bagi kedua-dua ini sangat berbeza ya. Harga bagi Economy Class, RM 110.00, manakala Business Class, RM 182.00.

  • “Mahalnya?!”. Sudah tentu mahal, kerana itu namanya Business Class. “Apa beza keduanya?”. Beza keduanya, yang pertama adalah kerusinya sendiri, anda akan rasa seperti menaiki kapal terbang, memang sangat selesa, besar dan ada monitor tv untuk anda layan filem.
  • Keduanya adalah makanan, dalam Business Class, akan ada sesi menjamu selera. Anda masuk sahaja dalam keretapi, anda akan dijamukan dengan hidangan pertama. Pengalaman saya dua kali merasa Business Class, pertama saya dijamukan dengan Mihun Goreng, kali kedua Lasagna. Kemudian sebelum anda sampai pula, anda akan dijamukan lagi dengan hidangan kedua(banyak betul makanan). Pengalaman pertama saya, hidangan Chicken Chop, yang kedua Nasi Beriyani(kalau tidak salah). Nasi itu memang sedap.
  • Yang ketiga, anda akan dapat soket(plug) untuk anda cas telefon dan menggunakan laptop. Seperti yang kita tahu, kebiasaannya Business Class ini dinaiki oleh orang yang memerlukan telefon dan laptop sepanjang masa. Jadi, penggunaan plug tersangatlah penting bagi mereka.

Itu serba sedikit mengenai SILVER, GOLD dan PLATINUM. Jadi persoalannya, mana yang berbaloi? Apa yang bagusnya antara semua ini? Jom kita bincang sedikit mengenai mana yang berbaloi, mana yang budget, mana yang lebih sesuai untuk kita.

Kita bincang mengenai jarak perjalanan, berapa masa yang diambil dan harga tiket ETS. Kita bermula dengan SILVER dan GOLD dahulu.

SILVER vs GOLD

Kita ambil jarak dari KL SENTRAL ke IPOH.

  • GOLD, 2 Jam 36 Minit. RM 38.00
  • SILVER, 2 Jam, 28 Minit. RM 27.00

Itu bagi harga GOLD dan SILVER berjarak dari KL Sentral ke IPOH.

GOLD vs PLATINUM

Kita ambil jarak KL Sentral ke PADANG BESAR

  • GOLD, 5 Jam 48 Minit. RM 78.00
  • PLATINUM, 5 Jam 33 Minit. Economy Class RM 105.00, Business Class RM 176.00

Baiklah, anda sudah lihat? Kita akan bincang GOLD dan PLATINUM sebab saya ada pengalaman kedua jenis ini sahaja.

RM 78.00 dan RM105.00 jumlah perbezaan harga RM 27.00.
5 Jam 48 Minit dan 5 Jam 33 Minit perbezaan kelajuan 5 minit.

Persoalannya, adakah berbaloi untuk anda menambah RM 27.00? Bagi saya, jika 5 minit menjadi kepentingan anda, mungkin ianya berbaloi. Tetapi bagi saya, tidak. Sebab saya sudah merasa menaiki GOLD dan PLATIUM Economy Class, dari segi keselesaannya sama sahaja, bezanya anda terpaksa berhenti dibanyak stesen, itu sahaja.

Persoalan kedua, Economy Class dan Business Class, berbaloikah? Untuk anda yang ingin merasa dan ingin keselesaan, berbaloi. Disebabkan kerusinya yang selesa, dan ada bahagian kerusi yang ada duduk seorang, yang ini sangat selesa. Katakanlah anda nak duduk seorang sahaja, tidak mahu duduk ada orang disebelah (Mungkin sebab virus-virus ini kan), anda boleh beli tiket untuk duduk seorang. Sangat selesa, ada monitor tv, makanan disediakan. Disebabkan perjalanan 5 Jam 33 Minit, agak jauh jugalah kan. Jangan lupa, ada plug disediakan ya, setiap satu kerusi.

Tetapi, jika anda sudah merasa naik, dan anda rasa sama sahaja, memanglah anda akan rasa tidak berbaloi, kecuali anda terpaksa beli sebab tiket sudah habis (macam saya terkena kali kedua, disebabkan tiada tiket, hanya yang ada Business Class). Kalau makanan menjadi isu anda hendak makan, sebelum masuk keretapi, anda belilah jajan, Mc Donald atau KFC. Sebab saya tengok, ramai sahaja yang bawa makanan masuk. Jadi, tiada isu anda hendak makan.

Anda jangan risau jika anda lapar, kerana ada kafe di Gerabak C kalau tidak salah saya. Jadi, anda boleh sahaja ke Gerabak C untuk membeli makanan. Bilik air dan surau juga disediakan, jadi, anda boleh menggunakannya.

Kesimpulannya, saya sudah bentangkan kesemua perkongsian dan apa yang saya tahu kepada anda. Mana yang lebih berbaloi untuk anda. Tambah duit dengan simpan lebihan duit. Anda perlu tahu, walaupun hanya RM 27.00, ianya sangat berharga bila anda bercuti ya, terlebih lagi anda seorang Backpacker.

Jadi, rancanglah perjalanan anda, pastikan anda memilih perjalanan yang betul, tarikh yang betul dan masa yang sesuai. Ketika hendak membeli tiket, jangan terlalu tergopoh gapah sampai tersalah pilih tarikh. Pastikan juga anda memilih tempat duduk yang sesuai dengan anda, sama ada anda hendak duduk di tepi tingkap atau tidak, dan sama ada anda hendak mengadap ke utara atau selatan. Semuanya sudah diberitahu didalam laman pembelian tiket. Oh ya, ada satu lagi, anda boleh lihat anda duduk sebelah wanita atau lelaki, ciri-ciri penambahan ini sangat mudah bagi mereka wanita untuk memilih tempat duduk.

Pastikan waktu anda menunggu keretapi, anda tahu yang mana satu gerabak anda, ada A B C D E F, pastikan yang mana gerabak anda, supaya anda memasuki pintu yang betul dan tidak menjadi sukar untuk anda kelak.

Jika anda tersalah beli tiket, anda tidak boleh refund penuh, cuma anda boleh refund 70%, 50%, atau 0%. Jadi, berhati-hati ketika hendak membeli tiket.

Pembelian tiket, anda boleh beli melalui laman sesawang KTMB, online.ktmb.com.my

Atau anda boleh muat turun aplikasi KTMB Mobile.

Saya doakan anda semua selamat sampai ke destinasi, dan selamat pulang ke rumah. Jangan terlalu asyik sehingga lupa SOP. Jaga penjarakan sosial, terlebihlagi sewaktu tunggu keretapi dan sewaktu keluar. Saya doakan anda semua selamat dan dijauhi dari wabak.

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *