Nak Layan Kisah Cinta Ala-Cha Cha Cha? Tonton Hometown Cha-Cha-Cha Di Netflix!

Assalammualaikum dan hai.. Selamat datang ke biskutkering.com

K-Drama Netflix

Tajuk : Hometown Cha-Cha-Cha
Durasi : 60-70 Minit Per-Episod
Episod : 16 Episod
Tarikh Tayangan : 28 Ogos 2021, Setiap Sabtu dan Ahad.
Pengarah : Yu Je-won
Genre : K-Drama, Romantik, Komedi
Terbitan : Studio Dragon
Netflix
Tontonan 13+

Tv Series Hometown Cha-Cha-Cha ini mengisahkan mengenai seorang doktor pakar pergigian, Yoon Hye-jin. Seorang wanita yang cantik, berkarisma dan menetap di bandar besar, Seoul, dan bekerja disebuah klinik pergigian yang terkenal.

Yoon Hye-jin mempunyai kawan baik iaitu Pyo Mi-seon, yang sentiasa berada bersama dari waktu sekolah sehingga ke alam pekerjaan. Mereka sentiasa bersama ketika susah dan senang.

Yoon Hye-jin yang terlalu selesa dengan kehidupan yang serba mewah akhirnya diberhentikan kerja oleh Ketua Doktor, Dr Lee, kerana sikapnya yang berlawanan dan sentiasa mengharapkan kerja yang lebih jujur kepada pesakitnya. Yoon Hye-jin menulis sesuatu di dalam komuniti doktor pergigian yang mana beliau menulis Dr Lee Min-yo ung salah guna kuasa dan pelbagai lagi. Ini membuatkan Dr Lee lebih marah. Ketua Doktor, Dr Lee, ada mengatakan sesuatu kepada Yoon Hye-jin, yang mana Yoon Hye-jin tidak akan dapat pekerjaan dalam bidang pergigian dimana-mana kerana melawan dirinya.

Kerana sikap Yoon Hye-jin yang sukakan kemewahan dan berbelanja, Yoon Hye-jin terpaksa mencari jalan bekerja demi menyara hidupnya. Beliau telah menghantar permohonan kerja di banyak klinik pergigian, namun, ditolak. Kerana Yoon Hye-jin telah membuat suatu kesilapan yang mana, beliau melawan seorang Ketua Doktor yang sangat berpengaruh. Disebabkan berita Yoon Hye-jin yang melawan Ketua Doktor tular di dalam kumpulan doktor pergigian, nama Yoon Hye-jin telah disenarai hitamkan oleh kumpulan doktor pergigian.

Yoon Hye-jin membawa dirinya ke suatu tempat yang mana beliau pernah ke sana sebelum ini bersama ibu dan ayahnya. Ibunya telah meninggal dunia pada usia Yoon Hye-jin masih kecil, ayahnya pula masih hidup. Yoon Hye-jin ke sebuah perkampungan kecil bernama Gongjin. Yoon Hye-jin berjumpa dengan seorang jejaka, Hong Du-sik, Ketua Hong yang menjaga hal ehwal kampung.

Di situlah bermulanya kisah doktor wanita bernama Yoon Hye-jin yang penuh dengan dunia kemewahan yang cuba untuk menyesuaikan dirinya di perkampungan dan bermulalah juga bibit-bibit percintaan antara mereka.

Dapatkah Yoon Hye-jin menyesuaikan diri?
Siapakah Hong Du-sik?
Adakah mereka akan bercinta?
Bolehkah Yoon Hey-jin menerima suasana kampung?

Pastikan anda menonton Hometown Cha-Cha-Cha di Netflix!

Lakonan dari pelakon hebat:

Kim Seon-ho – Hong Du-sik
Shin Min-a – Yoon Hye-jin
Lee Bong-ryeon – Yeo Hwa-jun
Kim Young-ok – Kim Gam-ri
Gong Min-jeung – Pyo Mi-seon
Lee Sang-yi – Ji Seong Hyun
In Gyo-jin – Jang Young-guk
Kang Hyung-seok – Choi Eun-chul
Go Do-yeon – Bora
Cha Chung-hwa – Jo Nam-sook
Cho Han-chul – Oh Cheon-jae
Kim Min-seo – Oh Ju-ri
Lee Yong-lee – Lee Mat-yi
Shin Shin-ae – Park Sook-ja
Ki Eun-yoo – Jang Yi-joon
Kim Sung-bum – Ban Yong-hun

Ulasan:

Sesiapa yang nak layan kisah cinta ala Cha-Cha-Cha, anda harus menonton drama siri Hometown Cha-Cha-Cha. Kebiasaannya, K-Drama ini jarang mengecewakan peminat dan pencinta drama Korea. Kebiasaannya juga mereka akan mencairkan anda dengan kisah percintaan mereka yang sangat mencairkan para wanita yang menontonnya.

Hometown Cha-Cha-Cha ini juga tidak terkecuali, drama siri ini sangat menarik untuk ditonton. Dengan kisah percintaan dan masing-masing mempunyai egonya yang tersendiri. Ini lagi menarik minat para pencinta K-Drama diluar sana.

Apa yang menarik dalam drama Hometown Cha-Cha-Cha ini, untuk setakat ini, atas pengetahuan saya, saya tidak nampak ada unsur-unsur seksi atau berpakaian separuh, berpelukan sepanjang masa, pegang tidak tentu arah. Tetapi anda boleh lihat, bagaimana(setakat episod yang ada) drama Korea atau K-Drama ini menarik anda ke alam romantik dan cinta tanpa ada unsur keseksian, kelucahan, atau nak romantik mesti kena peluk dan pegang. Hometown Cha-Cha-Cha ini hanya menggunakan mata dan mimik muka sahaja, dan shot yang menarik, itu sudah cukup membuatkan anda cair ibarat air batu mencair. Tanpa menafikan, memang ada babak seperti cium dan peluk kerana itu budaya mereka yang tidak patut dijadikan contoh. Cumanya, itu bukanlah aksi utama dalam babak romantik drama ini(setakat ini, mungkin akan datang saya tidak tahu). Pengarah drama Malaysia perlu mengambil sesuatu, perlu lakukan perubahan. Asyik nak kena pegang, nak kena peluk sahaja memanjang baru nak nampak romatik. Baiklah, cukup bahagian kritikan ini.

Watak Hong Du-sik yang dimainkan oleh Kim Seon-ho dan Shin Min-a yang dilakonkan oleh Kim Seon-ho sangat terbaik yang akan membuatkan para wanita jatuh hati dan mengharapkan jejaka seperti Hong Du-Sik. Kecomelan watak mereka ini sepanjang yang saya sudah menonton, memang terbaik, sweet. Jika anda peminat K-Drama, jangan melepaskan peluang untuk melayan kisah mereka berdua.

Di kampung Gongji, terdapat ramai watak didalamnya. Bagi saya, semua watak mereka sangat menjadi. Perwatakan ala kampung yang dibawa oleh pelakon-pelakon di Gongji memang menjiwai watak mereka sendiri. Lihat bagaimana mereka berjalan. Memang cara orang kampung berjalan, dengan kaki dengkotnya. Terlebih lagi watak Yeo Hwa-jun. Memang macam orang kampung habislah.

Saya rasa, siapa yang menonton siri drama Hometown Cha-Cha-Cha ini jika tidak menyebut partner ini, bagi saya mereka tidak menjiwai drama ini. Siapakah partner tersebut? Hong Du-sik dan nenek Kim Gam-ri. Bila babak mereka, saya terasa sangat dekat, seolah-olah sedang duduk bersama cucu dan nenek. Gelagat mereka sangat comel. Bahagian Hong Du-sik encang nenek Kim Gam-ri, babak Hong Du-sik disimbah air. Sungguh menarik.

Apa yang menariknya drama ini, dia seolah-olah membawa kita dalam suasana kampung. Dengan makcik bawangnya, suka menepuk-nepuk, menampar-nampar bahu orang, tapi memang betul pun. Dengan krisisnya, dengan pelbagai cerita dan kisahnya. Oh ya, nenek-nenek kampung juga tidak suka melihat wanita berpakaian ketat ya, kerana tidak sesuai dengan suasana kampung. Bukan hanya orang kita sahaja yang dikatakan kolot, tetapi mereka orang Korea juga memandang perkara itu tidak beradab dan tidak malu atau tidak sopan. Tak akan nak kena tunggu nasihat dari K-Drama baru nak meng-iya-kan dan ikut, sedangkan budaya kita sudah lama menganggap budaya memakai pakaian seksi sebagai tidak sopan dan tidak malu. Fikir-fikirkanlah ya babak nenek-nenek tidak suka Yoon Hye-jin bersenam pakai pakaian ketat.

Saya yakin, anda pasti tidak akan rasa bosan menonton setiap episod yang ada sekarang ini. Bagi saya, setiap episod memang seronoklah. Tiada kelompongan, tiada graf menurun. Semua dalam keadaan terbaik. Setiap episod pasti anda akan tertunggu-tunggu. Apa yang akan terjadi kepada pasangan ego itu, Hong Du-sik dan Yoon Hye-jin. Suka tapi tidak mahu beritahu. Yang seorang ingin menjaga keterampilannya, yang seorang lagi ingin menjaga keegoan kelakiannya. Lepas sampai rumah, semua terkenang saat manis mereka. Apalah, kita yang tonton ini pula rasa geram.

Sebenarnya ramai lagi watak-watak yang ada di dalam drama Hometown Cha-Cha-Cha ini, kesemuanya ada personaliti mereka yang tersendiri. Kawan kepada Yoon Hye-jin, Pyo Mi-seon, pun terbaik juga lakonan dia. Setiap kali keluar babak dia, pasti macam ada sesuatu saja dari raut wajahnya.

Kesimpulannya, drama Hometown Cha-Cha-Cha ini sangat terbaik, seronok, romantik. Dengan gelagat makcik-makcik bawang, dan kesantaian(betul ke istilah ini?) nenek-nenek kampung. Memang seronoklah. Tapi ada pengacau pula dalam hubungan antara Yoon Hye-jin dan Hong Du-sik, aduhai, siapa pula yang menjadi pengacau ini? Pastikan anda menontonnya sementara masih panas lagi. Saya pun dikira lewat jugalah tonton drama ini. Tapi memang layan!

Sekian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *