Kampong Pisang Kita Setandan Mamat Khalid

Assalammualaikum dan hai.. Selamat datang ke biskutkering.com

Filem Pendek Arahan Mamat Khalid

Tajuk : Kampong Pisang Kita Setandan
Durasi : 19 Minit
Pengarah : Mamat Khalid
Tarikh Tayangan : 16/9/2021
Genre : Komedi
Terbitan : Astro Shaw, Enjit-Enjit Semut Motion Pictures

Filem pendek ini mengisahkan mengenai perpaduan di dalam sebuah kampung, iaitu Kampong Pisang. Kisah ini terjadi bilamana ada seorang orang cina yang bernama Teck Zee yang ingin berkahwin, tetapi ibu dan bapanya tidak membenarkan kerana ibu bapanya menganggap Teck Zee seorang yang masih muda dan tidak bertanggungjawab dan kata ibu bapanya lagi, tiada sesiapa yang boleh membantu keluarga mereka mengadakan majlis perkahwinan kerana mereka tiada saudara mara.

Tunang Teck Zee bernama Janet, mereka belajar bersama dahulu. Janet dari Sarawak beretnik Iban dari Lundu. Janet seorang model dan influencer media sosial.

Seperti biasanya, penduduk Kampong Pisang yang sentiasa bersatu hati akan sentiasa tolong menolong tidak kira apa latar belakang orang tersebut. Sebagai seorang yang sentiasa berjiwa rakyat, Pak Din, ini menjadi tanggungjawab beliau untuk menolong dan menyelesaikan apa sahaja masalah di dalam Kampong Pisang.

Pak Din pergi berjumpa ibu Teck Zee dan menyelesaikan masalah dengan baik dan memberitahu Teck Zee sudah sampai seru untuk berkahwin, dan penduduk Kampong Pisang yang terdiri daripada Pak Din, Pak Jabit, Bakoba, Purnama, Fagura, Pak Karim dan ramai lagi. Akan menolong mereka sebaik mungkin, dan akan bergotong royong memasak bersama.

Nak tahu apa lanjutnya kisah mereka, pastikan anda menonton filem pendek Kampong Pisang Kita Setandan di On Demand secara PERCUMA!

Lakonan dari pelakon hebat:

Bell Ngasri – Barkoba
Mat London – Pak Karim
Aziz M Osman – Pak Jabit
Kazar Saisi – – Pak Din Pest Control
Dewa Sapri – Cik Purnama
Rashid Othman – Faguha Jabar
Nizam Mokram – MA Mok
Ahmad Yassin – Ahmad Yassin
Bulan Terry – Janet
Wong Wei Tian – Teck Zee
Ahmad Sufian Ismail – Pak Pian
Mohammad Hafiz – Mirlun

Ulasan:

Saya tidak tahu anda menilai filem pendek ini bagaimana, tetapi, sebagai peminat setia sutradara Mamat Khalid, saya sentiasa menghauskan karya-karya atau buah tangan dari Mamat Khalid. Sempena hari Malaysia 16hb, Mamat Khalid telah menghadiahkan kita sebuah filem pendek bernama Kampong Pisang Kita Setandan. Ini bagi mengubat rindu peminat-peminat setia filem Mamat Khalid.

Bagi saya, filem perpaduan seperti ini tidaklah asing bagi Mamat Khalid, kerana filem Estet tahun 2010 arahan Mamat Khalid sebelum ini menceritakan mengenai perpaduan juga, tetapi lebih kepada masyarakat India. Cuma kali ini filem pendek Kampong Pisang Kita Setandan, lebih kepada masyarakat Cina. Cuma ada dimasukan sedikit watak India ketika babak di Warung Pak Jabit dan ketika gotong royong. Filem Kala Malam Bulan Mengambang pada tahun 2008 juga terdapat latar belakang masyarakat, bukanlah hanya pelakon Melayu sahaja didalamnya. Mamat Khalid pasti akan selitkan latar belakang berbilang kaum di Malaysia di dalam filemnya, sama ada kita perasan atau tidak sahaja. Cuma menariknya dalam filem pendek ini, ada masyarakat Iban. Kampong Pisang Kita Setandan, membaca tajuk “KITA” “SETANDAN” pun sudah mengetahui maksud filem pendek ini.

Cumanya ada sedikit kecewa, bilamana buah tangan dari sutradara Mamat Khalid kali ini hanyalah berdurasi 19 minit sahaja. Ini sangat mengecewakan terutamanya peminat setia beliau, seperti saya. Tetapi didalam posternya telah meletakan perkataan “Filem Pendek” jadi, apa yang boleh kita protes.

Bukanlah kekecewaan saya bermaksud buruk, tetapi, ketidakpuasan untuk menontonnya membuatkan saya kecewa. Sebagai seorang yang sentiasa menggunggu karya filem Mamat Khalid, pasti merasakan tidak puas menonton filem pendek ini. Tidak mengapalah, itu hanyalah masalah kecil sahaja.

Berbalik kepada filem pendek Kampong Pisang Kita Setandan, seperti yang kita maklum, komedi Mamat Khalid yang tidak pernah kering gusi, yang sentiasa menjamu kita dengan komedi yang tidak henti-henti. Tidak peliklah peminatnya sentiasa menggunggu kehadiran karya Kampong Pisang ini.

Lakonan Kazar, Mat London, Bell, Aziz M Osman, Dewa Sapri, Ahmad Yassin, Rashid Othman, sudah pasti membuatkan anda sentiasa bergelak sakan. Dengan penampilan dan watak mereka, dan juga cara lontaran dialog percakapan mereka yang bersahaja, memang tidak boleh dinafikan lagi jenaka mereka.

Didalam filem pendek ini menampilkan pelakon lain, seperti Bulan Terry(yang berlakon filem Busker tu) dan Wong Wei Tian. Babak Bulan Terry tidaklah begitu banyak, tetapi menyerikan lagi filem pendek ini dengan kehadiran sekuntum bunga. Apa yang saya hendak tekankan ialah mengenai Wong Wei Tian yang memegang watak Teck Zee. Apa yang menariknya Mamat Khalid ini, sesiapa sahaja yang berlakon dalam karyanya, pasti anda tidak akan nampak pelakon itu kekok dan anda merasakan pelakon itu di dalam dunia Mamat Khalid itu sendiri. Jika dunia Mamat Khalid berlatar belakangkan perkampungan, memang anda akan lihat mereka akan menjadi sebahagian dari penduduk kampung.

Watak Teck Zee sebelum ini tidak pernah ada dalam siri Kampong Pisang, tetapi watak ini seolah-olah dia memang ada dalam Kampong Pisang. Dia tidak nampak asing walaupun watak baharu. Dan lakonan Wong Wei Tian bagi saya memang menjadi. Lakonan ibu kepada Teck Zee pun ok juga.

Terdapat banyak sebenarnya lawak jenaka yang berada didalam filem pendek Kampong Pisang Kita Setandan ini. Saya tidak mahu ulasnya dengan banyak, supaya yang belum menonton dapat menghayatinya. Walaupun 19 minit, tetapi lawaknya sangat padat.

Jika anda perasaan dalam siri Kampong Pisang ini, Ahmad Yassin seorang yang buta bukan? Cuba lihat apa yang dia lakukan di dalam semua siri Kampong Pisang. Dia bawa motor, di kacau lauk, dia buat macam-macam yang orang celik buat. Apa ke heynya, haha.

Ada dialong lain pula, Pak Jabit bilamana Teck Zee dan Janet datang ke warungnya. Tiba-tiba pula keluar loghat cina dia. Itulah orang kita, jumpa orang Cina, keluar loghat Cina. Jumpa orang India, keluar loghat India. Jumpa orang Bangladesh, tetiba pandai loghat Bangladesh pula.

Influencer tu apa?” – Pak Karim, “Macam selsema ni” – Cik Purnama. “oo..(ya ya)”- Pak Karim. “Selsema pula.. Selsema tu influenza! Kome ni rupa beruk tau bila bercakap” – Pak Din

Didalam satu babak ketika gotong royong, perasan tidak dalam perkumpulan wanita-wanita sedang memotong, ada Cik Purnama di tengah-tengah? Adakah babak ini tidak sengaja atau disengajakan? Atau memang Mamat Khalid tahu situasi ini? Kebiasaannya didalam kampung, bilamana sesi gotong royong, potong memotong, dalam keliling para kaum wanita, pasti akan ada seorang lelaki yang tiba-tiba ada dan muncul ditengah-tengah kumpulan wanita tersebut. Situasi ini memang biasa bagi penduduk kampung. Kebiasaannya akan ada seorang lelaki dalam ramai-ramai wanita tengah sesi potong memotong, dan orang lelaki itu, pasti disukai oleh makcik-makcik disitu, kiranya kalau nak kahwin, Bismillah.

Babak “uii, kambing bakar ke?”, ini babak paling lucu bagi saya, dan babak ini berada dipenghujung filem pendek ini, pastikan anda tidak lepaskan babak ini.

Anda harus menonton filem pendek Kampong Pisang Kita Setandan arahan Mamat Khalid ini, jika anda seorang peminat karya-karya beliau. Pasti anda tidak kering gusi menontonnya. Anda boleh tonton di On Demand dan Saluran 100. Selamat menonton!

Oh ya, Mamat Khalid telah mengeluarkan satu lagi karyanya bertajuk KLIK RIDER arahan Mamat Khalid, bermula 17 September, setiap Jumaat, 9 malam. Kali ini agak sedikit lain sentuhan dari Mamat Khalid, insyaAllah saya akan buat ulasan atau review Klik Rider nanti!

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *