Assalammualaikum dan hai.. Selamat datang ke biskutkering.com

Taman : Taman Rama-Rama Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Butterfly Park)
Alamat : Jalan Cenderawasih, Tasik Perdana, 50480 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
No Telefon : 03-2693 4799
Harga :
Warganegara, Dewasa RM13, Kanak-Kanak RM6.
Bukan Warganegara, Dewasa RM25, Kanak-Kanak RM13
Hari Operasi : Sabtu, Ahad dan Hari Cuti Am
Waktu Operasi : Jam 9:00 Pagi – 4:30 Petang

Jika anda tercari-cari tempat untuk membawa anak anda berjalan, beriadah dan sambil belajar? Salah satunya tempat yang boleh anda kunjung adalah Taman Rama-Rama Kuala Lumpur yang terletak di Tasik Perdana. Taman di dalam bandar. Nanti saya akan kongsikan pengalaman dan tips masa bila waktu yang sesuai untuk anda masuk ke Taman Rama-Rama ini.
Taman Rama-Rama Kuala Lumpur berukuran 80,000 kaki persegi, mengikut laman sesawangnya, Taman Rama-Rama Kuala Lumpur adalah yang terbesar didunia! Dan mempunyai 5,000 spesis rama-rama! Banyak betul. Jika anda peminat rama-rama, pastikan ini salah satu tempat anda kunjungi. Yang mana mempunyai kamera, boleh bawa. Jangan risau, kamera dibenarkan. Ini peluang anda untuk menikmati dan mengambil gambar bermacam spesis rama-rama.

Taman Rama-Rama Kuala Lumpur mempunyai ruangan belajar atau muzium, yang mana ruangan ini mengumpulkan pelbagai gambar dari setiap jenis rama-rama yang ada. Memang terbaiklah. Bila anda jejak sahaja ruangan ini, memang mata anda tertumpu pada dinding-dinding yang penuh dengan gambar dan pembacaan mengenai spesis Rama-Rama diseluruh Malaysia. Taman Rama-Rama Kuala Lumpur juga dihiasi dengan flora dan fauna, mempunyai kolam ikan koi, air terjun buatan, dan tempat menarik untuk and ber-ootd.

Jika anda berkemampuan atau ada duit lebih, pastikan anda singgah membeli di kedai cenderahatinya, pasti anda akan terpukau dengan jualan di situ (bagi peminatnya). Boleh tengok gambar ini. Cuma harganya agak mahallah, tetapi sesuai dengan cenderahati yang anda dapat. Rama-rama yang telah diawet kemudian dijadikan sebagai hiasan, memang cantik.

Saya ada bagitahu awal tadi saya akan beri tips waktu sesuai untuk anda kunjung kan? Pengalaman saya ke Taman Rama-Rama Kuala Lumpur, jam 9:10 pagi saya sudah masuk ke taman ini. Pada awalnya saya rasa macam, “Membazirnya aku masuk…. Rama-rama pun sikit sangat…“.
Memang sebelum saya ke Taman Rama-Rama, saya ada tengok review Taman Rama-Rama, sejak kebelakangan ini ada keluhan yang mengatakan rama-rama di sana tidak banyak dan bukan musim. Mungkin betul juga apa kata mereka. Tapi saya redah sahajalah. Memang betul apa yang mereka katakan. Sangat sikit, hampir susah nak jumpa depan-depan dan ambil gambar.

Waktu saya sudah putus harapan, rasa nak keluar sahaja. Ada seorang pakcik yang jaga Taman Rama-Rama cakap pada saya “Awal pagi…..“, saya jawablah, “Aah pakcik, keluar awal….“. Ingat pakcik ini tanya saya awalnya datang. Kemudian pakcik ini kata lagi “Awal pagi sangat ni… Rama-rama belum turun lagi…..“. Saya pun macam, belum turun?
Apa lagi, saya tanyalah pakcik itu, bila biasanya rama-rama ini turun. Sebab macam pelik je bunyi, rama-rama belum turun. Pakcik ini ada bagitau sedikit tips (Terima kasih pakcik jaga Taman Rama-Rama).
Menurut pakcik ini, rama-rama biasanya akan turun pada jam 10:00 pagi ke atas, atau lebih lagi pada jam 11:00 pagi. Pakcik ini ada beritahu lagi, jika hujan (malam hingga pagi), rama-rama lagi lewat turun, tapi lingkungan jam 10:00 pagi keatas. Jadi, dengan rasa nak sedapkan hati sebab sudah bayar tiket, saya tunggulah kurang lebih 40minit dalam itu. Tapi banyak ada tempat duduk.
Saya mula-mula macam pelik, “Rama-rama belum turun….“. Waktu sambil tengah tunggu jam 10:00, saya tengoklah atas pada jaring-jaring tutup taman itu. Memang banyak rama-rama duk melekat di jaring atas itu. Dalam hati, “Oooo.. Inilah kot maksud pakcik tadi tu…“. Mungkin rama-rama masih rehat dan tidur. Jadi, saya dengan rasa mempercayai pakcik tadi, saya tunggulah sambil jalan-jalan, pusing-pusing tempat yang sama.
Lebih kurang pukul 9:50 macam itu, saya perasan rama-rama makin banyak berterbangan, sehingga pada jam 10:00 lebih, makin banyak!

Memang benarlah apa kata-kata pakcik tadi. Ya lah, dah dia yang penjaganya, pastilah dia tahu gerak geri rama-rama didalam taman. Rasanya ini tips yang memang berguna betul buat saya dan saya boleh kongsikan kepada anda. Sebab ada orang lain masuk sama lebih kurang waktu macam saya, tapi mereka sudah keluar lebih awal, jadi, rugilah.

Pada jam 10:30 pagi begitu, anda akan lihat banyak rama-rama yang sudah turun, terbang sana sini, cari makan, hinggap dibunga-bunga yang ada. Pelbagai warna ada, memang cantik! Ada juga jenis rama-rama terbang tepi kita dan ada yang hinggap pada tempat makanan yang disediakan oleh pihak Taman Rama-Rama, memang mudahlah hendak ambil gambar. Waktu ini memang ramai berbaloi sangatlah dengan harga tiket.

Bagi anda yang hendak kunjungi Taman Rama-Rama Kuala Lumpur, nasihat saya anda bolehlah pergi dalam jam 10:00 pagi ke atas atau jam 10:30 begitu. Ketika ini rama-rama akan aktif mencari makan pagi. Saya tidak sempat untuk menunggu sehingga jam 11:00 pagi, kemungkinan rama-rama lebih banyak pada ketika itu. Sebab lepas itu saya hendak ke Taman Burung Kuala Lumpur pula, hihihi. Jika hendak tahu pengalaman saya ke Taman Burung Kuala Lumpur, tunggu episod seterusnya.
Cuma satu perkara yang anda perlu tahu, datang ke Taman Haiwan ini, tidak kiralah sama ada Taman Rama-Rama, Taman Burung atau Zoo, anda sedang berinteraksi dengan haiwan. Waktu mereka ini keluar atau aktif kita sendiri tidak boleh jangka. Ada waktunya anda akan seronok tengok telatah haiwan ini, adakalanya batang hidung dia pun kita tidak nampak. Perkongsian saya ini atas pengalaman saya pada waktu dan ketika itu sahaja.
Tips saya sudah berikan, jadi, apa tunggu lagi, JOM KE TAMAN RAMA-RAMA KUALA LUMPUR! Jaga kebersihan dan jangan buang sampah merata-rata! Malaysia mempunyai tempat menarik untuk anda kunjungi dan bersantai jalan bawa anak-anak anda.
Sekian.