Filem Aku No 1 – Arahan Aznil Nawawi Yang Telah Dilupakan

Assalammualaikum dan hai.. Selamat datang ke biskutkering.com

Filem Aku No 1 – Aznil vs Azwan Yang Telah Dilupakan

Tajuk : Aku No 1
Durasi : 100 minit
Pengarah : Aznil Nawawi
Tarikh Tayangan : 19/8/2004
Terbitan : Golden Screen Cinemas

Filem Aku No 1 mengisah tentang dua orang pengacara yang sentiasa bertikam lidah tetapi berada pada satu stesen tv yang sama. Dua orang pengacara tersebut ialah Aznil Hj Nawawi dan Azwan Hj Ali.

Mereka berada di dalam satu stesen tv yang sama iaitu Metro Tv yang di pengelolakan oleh Puan June dan anaknya Jeslina. Di dalam stesen tv itu juga terdapat seorang lagi pesaing iaitu Bard. Tetapi rating Bard telah jatuh. Penaja dan peminat tidak lagi menyukai Bard kerana masanya telah berlalu dan berada dibawah. Dia kehilangan penaja dan peminat sekaligus beliau kehilangan job pengacaraan. Bard sangat kecewa sehingga akhirnya beliau menjadi mental.

Puan June sangat serius walaupun Bahasa Inggerisnya sering digelakan oleh Aznil dan Azwan. Jeslina pula sangat periang. Aznil pula telah jatuh cinta dengan Jeslina, Jeslina pula dalam diam menyukai Aznil. Azwan juga ingin bersaing untuk mendapatkan Jeslina disebabkan Aznil menyukai Jeslina.

Aznil dan Azwan saling bercakaran antara satu sama lain dan sentiasa melakukan perkara yang tidak disukai oleh Puan June. Mereka saling membuat berita panas.

Mereka mempunyai rancangan mereka sendiri, iaitu B-Pop dipengacarakan oleh Aznil Hj Nawawi. Dan Cot-Cot pula dipengacarakan oleh Azwan Hj Ali.

Konflik Aznil Hj Nawawi dan Azwan Hj Ali semakin tegang dan dipenghujung jalan. Puan June memberi amaran keras kepada mereka berdua, jangan melakukan sidang media dan perang media lagi, dan perlu genjatan senjata atau mereka akan dipecat.

Ketika ini mereka berdua tidak lagi menggunakan perang media tetapi mereka beralih kepada perang psikologi.

Aznil dan Azwan memiliki rahsia besar mereka sendiri dan rahsia ini sangat peribadi bagi diri mereka berdua terutamanya pesaing mereka, sehinggakan tiada seorang pun yang tahu. Mereka sangat menjaga rahsia tersebut kerana jika pihak luar atau media dapat tahu, akan hancur populariti mereka.

Aznil tidak mahu rahsia ini terbongkar terlebih lagi jika pesaing rapatnya iaitu Azwan dapat tahu rahsianya. Begitu juga sebaliknya, Azwan yang tidak mahu rahsianya dipecahkan dan tidak mahu pesaingnya iaitu Aznil mendapat tahu.

Mereka sentiasa mencari maklumat apa sahaja yang boleh menjatuh pesaing mereka.

Aznil mempunyai kumpulannya sendiri, iaitu Mun. Begitu juga Azwan mempunyai tukang solek, Tun yang sekaligus menjadi orang kanannya. Apa sahaja masalah mereka, tidak banyak sedikit kumpulannya akan tahu. Di sini bermulanya kisah mereka..

Jadi, apakah rahsia yang sebenarnya?
Apakah yang akan terjadi kepada mereka?
Adakah mereka akan berdamai?

Lakonan dari pelakon hebat:

Aznil Nawawi – Aznil
Azwan Ali – Azwan
Jeslina Hashim – Jes
Khaty Fauziah – Puan June
Jaafar Onn – Bard
Rosnah Mat Aris – Tun
Munie Phyne Ballerz – Mun
Yassin
Ilya/Pak Ya
Hamdan
Sheila Mambo – Sheila Mambo
Salih Yaacop – Salih Yaacop

ULASAN FILEM

Filem ini bukanlah filem yang serius bahkan tidak ada unsur serius pun, filem ini terdapat didalamnya berunsur satira dan perli memerli. Filem ini diarahkan oleh Aznil Hj Nawawi kerana pada ketika itu memang konflik Aznil dan Azwan telah tercetus, jadi, untuk mendamaikan kedua-dua pihak, Aznil telah mengambil satu jalan iaitu membuat satu filem untuk mengatakan yang mereka tidaklah saling bercakaran.

Filem ini tidak mendapat sambutan yang menggalakan, bahkan boleh dikatakan gagal, kerana filem ini yang terlalu lawak over atau melampau. Mungkin pada ketika itu pada tahun 2004 yang mana penerimaan filem-filem sebegini agak sukar diterima peminat dan rakyat Malaysia itu sendiri. Sama juga nasibnya seperti Zombi Kampung Pisang pada asalnya rakyat Malaysia tidak boleh menerima filem ini yang ditayangkan tahun 2007, pada tahun 2007 pun peminat filem Malaysia tidak boleh menerima filem-filem satira atau parodi seperti ini, apatahlagi pada tahun 2004 yang jauh kebelakang.

Sebenarnya filem luar telahpun kehadapan dengan filem lawak melampau sarkastik atau perli seperti ini, bahkan lawaknya langsung tidak boleh diterima akal. Tetapi kita boleh terima kerana ianya filem antarabangsa. Mungkin Aznil Nawawi menjadikan filem luar seperti itu sebagai sumber rujukannya, tetapi, malangnya, itu bukanlah zaman yang sesuai. Mungkin jika hari ini filem ini dikeluarkan, mesti akan ada yang gelak melekek-lekek.

Bagi saya, filem ini hampir tiada cacat celanya. Dari segi suara, adegan, kamera shoot dan sebagainya, agak menarik. Pengambaran filem ini mengambil masa selama 25 hari sahaja, ini agak menarik. Kebanyakan adegan didalam ini mengisahkan realiti tentang Aznil Nawawi dan Azwan Ali.

Filem ini juga terdapat sedikit kritikal sosial dan kritikal dalam dunia hiburan itu sendiri yang Aznil memasukannya. Tidaklah terlalu banyak, tetapi ada sedikit. Seperti babak “No Comment” yang dibawa oleh Eizlan Yusof dalam filem ini.

Tidak dinafikan, kadang kala lawaknya yang agak melampau. Tetapi bagi saya itu biasa. Dalam genre filem yang seperti ini. Kita dapat lihat banyak filem luar lakukannya. Ada babak Aznil tukar dengan Mun ketika memandu. Ada babak kereta dibawa dengan berundur. Ini semua lawak yang memang tidak boleh diterima. Sama ada kita berlapang dada dan menjadikan babak itu sebagai lawak jenaka atau lawak sendu. Itu terpulang pada masing-masing. Untuk saya, itu lawak yang boleh gelak.

Sebenarnya kita sedikit skeptikal dengan produk negara kita sendiri, jika ianya produk luar atau produk antarabangsa, tidak lawak pun boleh jadi lawak dan gelak terbahak-bahak, walaupun lawaknya tidak masuk akal. Itulah realitinya.

Terdapat banyak lagi babak yang kelakar dan dialog yang boleh kita jadikan santapan lawak. Salah satunya ketika perang pantun “Anak orang anak budak, jangan pula nak berdegil!”. Ada juga babak ketika didepan hotel, Aznil dan Azwan berlawan memberi hadiah kepada penyambut tetamu iaitu Yassin. Ketika Azwan menunjukan jamnya, Yassin membalas jamnya lebih banyak, dan Azwan terkejut dan gelak.

Sebenarnya dalam lawak, kita tidak boleh hanya melihat pada dialog dan adegan sahaja. Pergerakan badan atau body langguage juga sangat penting. Ketika terkejut dan bermacam lagi. Dalam cerita ini banyak lawaknya datang dari Azwan Ali yang jenis bercakap lepas dan body langguagenya sangat terbaik.

Dalam filem ini menampilkan juga Yassin, Ilya atau Pak Ya dan Hamdan. Saya tidak tahu kenapa pengarahnya Aznil meletakan mereka ini dimana-mana sahaja. Mungkin juga pada ketika ini mereka sangat terkenal dengan jenama Aku Kaya The Movie yang ditayangkan pada tahun 2002. Kerana itu juga kita lihat ada Jeslina Hashim didalam filem ini. Tapi mereka sangat kelakar, walaupun watak cameo, kejap ada, kejap tak ada, tiba-tiba pegang watak lain. Memang terbaik.

Penampilan seperti Rosnah Mat Haris, Munir Phyne Ballerz dan Jaafar Onn, memeriahkan lagi filem ini. Terlebih lagi mak kepada Shaheizy Sam iaitu Khaty Fauziah, memang sangat terbaik lakonan Khaty Fauziah dalam filem ini, lawaknya memang kelakar.

Saya tidak merasakan filem ini perlu dikritik gila-gila, kerana filem ini memang genrenya dibuat sebegini. Kebiasaannya filem begini memang sukar untuk diterima masyarakat umumnya. Tetapi, sesiapa yang inginkan sesuatu filem yang menonton sekali lalu, gelak, kemudian habis, ini salah satu filemnya. Yang mana filemnya memang tidak berat, dan kita menonton sekadar untuk seronok sahaja.

Apa yang perlu kita tahu, filem ini mengandungi sejarahnya yang tersendiri. Sejarah persaing diantara Aznil Hj Nawawi dan Azwan Hj Ali. Ramai juga yang selalu salah dengan mereka ini, Aznil dipanggil Azwan, Azwan dipanggil Aznil.

Sesiapa yang mengatakan kedua-dua lagenda ini iaitu Aznil Hj Nawawi dan Azwan Hj Ali tidak terkenal suatu ketika dahulu, bagi saya, dia masih baru mengenal dunia pengacaraan. Mereka berdua ini pernah mencapai satu tahap yang mana tiada sesiapa boleh menandingi mereka berdua. Pengacara yang sangat hebat, formal, berdedikasi, profesional. Azwan Ali pernah mengacara satu rancangan yang mendapat sambutan, termasuk dari diri saya sendiri, rancangan itu ialah Cit Cat Azwan Ali. Azwan Ali pernah berlakon beberapa filem dan lakonannya memang sangat hebat seperti Harry Boy dan beberapa lagi telemovie, beliau pernah digilai ramai orang dizaman kemuncak kerjaya beliau. Aznil juga tidak kurang hebatnya. Cuma, setiap orang akan ada fasa zaman kejatuhan mereka yang kita sendiri tidak tahu apa sebabnya.

Aznil Hj Nawawi dan Azwan Hj Ali pernah memeriahkan dunia hiburan tanah air suatu ketika dahulu. Terima kasih anda berdua. Saya membesar dengan rancangan, pengacaraan dan hiburan dari anda. Terima kasih.

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *