Aku Kaya Telemovie Menaikan Nama Trio Yassin, Hamdan dan Pak Ya

Assalammualaikum dan hai.. Selamat datang ke biskutkering.com

Telemovie yang patut anda tonton

Tajuk : Aku Kaya Telemovie
Durasi : 108 minit
Pengarah : Murali Abdullah
Tarikh Tayangan : 2002
Terbitan : Boommax Sdn Bhd & A&A Pictures Sdn Bhd

Telemovie ini mengisahkan tentang adik beradik yang menjalani hidup sederhana dengan menjadi penjual ayam segar dipasar. Mereka sentiasa bersama-sama dalam setiap situasi. Mereka mempunyai 3 adik beradik iaitu abangnya Yassan, keduanya Yassun dan adik bongsunya Yassin.

Mereka hidup disebuah kampung, Johor, yang mana mereka mempunyai pesaingan atau musuh ketat yang tidak sukai oleh seorang pakcik tua yang bernama Pak Yeop dan kawan rapatnya yang bernama Pak Din. Pak Din seorang kaki kipas, apa sahaja yang dikatakan oleh Pak Yeop, dia akan sokong.

Mereka saling bersaing antara satu sama lain dek kerana mereka berkongsi satu perniagaan yang sama iaitu menjual ayam dipasar.

Pak Yeop mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Leha. Leha seorang yang periang dan cantik. Yassan, Yassun dan Yassin adalah jiran kepada Pak Yeop dan Leha.

Mereka bertiga telah jatuh hati kepada Leha anak Pak Yeop. Disebabkan Pak Yeop sangat bencikan mereka bertiga dan menganggap mereka seperti musuh ketat, jadi, Pak Yeop tidak pernah merestui mereka menjadi menantunya.

Tetapi perasaan Leha telah terpikat kepada salah seorang dari mereka bertiga iaitu Yassin. Mereka menjalani hubungan secara diam-diam. Namun, Pak Yeop nampak mereka ini ada sesuatu, dan Pak Yeop yakin mereka ada hubungan. Malangnya, Pak Yeop memang tidak sukakan mereka.

Pak Yeop tidak sukakan mereka bukan hanya kerana persaingan mereka menjual ayam, tetapi dalam hal lain juga seperti pertandingan lawak yang mana Pak Yeop dan Pak Din kalah ditangan mereka. Selain dari itu, 3 adik beradik ini bukanlah dari keluarga kaya seperti Pak Yeop dan mereka sentiasa direndah-rendahkan, kerana tidak setaraf dengan Pak Yeop.

Yassin minat satu rancangan yang menjanjikan duit RM1juta, iaitu rancangan Aku Kaya. Setiap kali rancangan ini disiarkan, pasti Yassin tidak pernah melepaskan untuk menonton rancangan Aku Kaya, dan setiap kali soalan ditujukan kepada peserta, pasti Yassin dapat menjawabnya. Dan dia mempunyai impian untuk ke rancangan tersebut. Tetapi abang-abangnya sangat merendahkan Yassin.

Demi untuk membuktikan kepada abang-abangnya yang dia boleh berjaya, Yassin mengambil keputusan menghantar borang penyertaan kepada rancangan Aku Kaya. Sekaligus ini membuktikan kepada Pak Yeop yang dia seorang yang berjaya dan akan menjadi kaya, dan membuktikan cintanya kepada Leha.

Akhirnya, Yassin terpilih untuk menjadi salah seorang peserta rancangan Aku Kaya. Mereka membuat persediaan akan ke ibu kota Kuala Lumpur untuk menghadiri rancangan tersebut. Pelbagai kejadian dan dugaan yang berlaku ketika dalam perjalanaan ke Kuala Lumpur.

Apakah yang mereka terpaksa tempuhi?
Berjayakan Yassin dalam rancangan Aku Kaya?
Bolehkah Yassin memikat Pak Yeop supaya merestui hubungan mereka?

Lakonan dari pelakon hebat:

Yassin Yahya – Yassin
Hamdan Ramli – Yassan
Ilya Buang – Yassun
Jeslina Hashim – Leha
Ahmad Busu – Pak Yeop
Zaibo – Pak Din
Jalaluddin Hassan – Tuan Ramli(Pegawai Polis)
Kumpulan X-Factor – Perompak
Imuda – Tauke Restoran Nasi Kandar
Kumpulan Def Gab C – Undercover Badan Basmi Cetak Rompak
Douglas Lim – Undercover Bapak Ayam

Ulasan:

Telemovie ini bergenrekan komedi dan ianya menjadi dan kelakarnya ada. Telemovie ini dibintangi oleh pelakon utama, Yassin, Hamdan dan Pak Ya. Telemovie ini mendapat sambutan pada tahun 2002, kemudian pada tahun 2004 mereka keluarkan filem pula iaitu Aku Kaya The Movie.

Aku Kaya atau Kumpulan Aku Kaya ini menggabungkan ketiga-tiga ahli Senario dan akhirnya dari telemovie Aku Kaya menjadi Kumpulan Aku Kaya yang mendapat sambutan dan penerimaan pada ketika itu sangat baik. Kemudian mereka mengeluarkan beberapa lagi filem series Aku Kaya yang lain.

Dengan adanya ketiga-tiga ahli Senario ini dan digabungkan, tidak hairanlah ianya menjadi kumpulan trio yang lawak. Yang penting, mereka tahu watak mereka dan tidak ‘membunuh’ watak-watak yang lain.

Telemovie Aku Kaya ini juga menampilkan Allahyarham Ahmad Busu yang sangat dikenali dengan kelucuan dan lawaknya yang tersendiri. Kehadiran Allahyarham Ahmad Busu memeriahkan lagi lawak di dalam telemovie ini.

Terdapat sound effect yang lucu didalam Aku Kaya Telemovie. Yang bagi saya kena pada tempatnya. Terdapat juga babak dan dialog-dialog yang kelakar dalam filem ini.

Bagi saya, semua pemain atau pelakon dalam filem ini, masing-masing mempunyai kekuatan watak dan dialog mereka sendiri, dan mempunyai lawaknya yang tersendiri. Yassin, Hamdan dan Ilya, tidak boleh dipertikaikan lagi. Lafaz dialognya sahaja sudah kelakar. Jika perasan, gelak Hamdan dan Ilya hampir-hampir sama.

Jeslina Hashim pula, ada auranya yang tersendiri. Lawaknya sipi-sipi dan tergedik memeriahkan lagi telemovie ini. Kadang kala dia juga ada tergelak dalam beberapa babak. Perhatikan betul-betul.

Allahyarham Ahmad Busu dengan cara percakapannya yang main cakap lepas sahaja, memang terbaik. Pastikan anda sentiasa mendengar setiap dialognya dan menonton disetiap babak yang andanya dia disitu, pasti anda akan tergelak.

Allahyarham Zaibo pula, tidaklah watak utama, cumanya beliau juga seorang kelakar. Ada babak yang dia lenguh, tangannya berada dekat dengan Leha anak Pak Yeop, itu kelakar. Gandingan kedua-dua orang lama Allahyarham Ahmad Busu dan Allahyarham Zaibo.

Douglas Lim, walaupun muncul hanya satu babak, tetapi menceriakan telemovie ini dengan dialognya dan pergerakannya. Bagi saya, muncul satu atau dua babak bukanlah isunya. Tetapi bagaimana seorang artis itu dalam menambah seri disetiap selingan babak yang ada.

Jika anda ada masa lapang dan tidak tahu nak lakukan apa, anda boleh menonton telemovie ini Aku Kaya Telemovie di youtube.

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *